59 warga Indonesia ditahan dalam Ops Sapu

1 hour ago 7
ADVERTISE HERE

KUCHING, 14 Sept: Seramai 59 warga Indonesia ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak dalam Ops Sapu di tiga lokasi sekitar Bandar raya Kuching dari 12 September hingga semalam.

Operasi yang dijalankan dari jam 10 malam hingga 4.30 pagi itu digerakkan Bahagian Penguatkuasa Kuching dengan kekuatan 37 pegawai hasil aduan awam dan risikan.

Menurut kenyataan JIM Sarawak, seramai 92 individu diperiksa sepanjang operasi, dengan 59 warga Indonesia ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen.

“Di lokasi pertama, sebuah rumah teres setingkat di Jalan Chong Kiun Kong, Kenyalang Park, seramai 11 lelaki warga Indonesia ditahan daripada 11 individu yang diperiksa.

“Kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155). Turut dirampas dua pasport Indonesia, lima set komputer, lima komputer riba dan 12 telefon bimbit,” katanya.

Di lokasi kedua, sebuah rumah kongsi di tapak pembinaan di Jalan Saradise, seramai 46 warga Indonesia terdiri daripada 38 lelaki dan lapan wanita ditahan daripada 46 individu yang diperiksa.

Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, selain 28 naskhah pasport antarabangsa Indonesia dirampas.

Sementara itu, di lokasi ketiga iaitu rumah kongsi di tapak pembinaan di Batu Kawa, dua lelaki warga Indonesia ditahan daripada 35 individu yang diperiksa.

Kedua-duanya disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) akta sama.

Kesemua tahanan dibawa untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

JIM Sarawak turut menegaskan komitmen untuk terus mempergiat operasi penguatkuasaan secara bersasar berdasarkan maklumat risikan dan aduan awam.-TVS

Read Entire Article