Abang Johari bawa suara Sarawak dalam agenda tenaga global

52 minutes ago 6
ADVERTISE HERE

BANGKOK, 14 Sept: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyertai Ministerial Roundtable Meeting bersama 37 pemimpin tenaga dunia bagi membincangkan hala tuju dan keutamaan sistem tenaga masa depan.

Pertemuan yang berlangsung sempena GASTECH 2026 di Bangkok itu menghimpunkan pemimpin serta tokoh industri tenaga dari pelbagai negara, termasuk Algeria, Brunei, Amerika Syarikat, Lubnan, Bangladesh, Thailand dan negara-negara ASEAN.

Perbincangan itu memberi tumpuan kepada keperluan membangunkan sistem tenaga yang berdaya tahan bagi memenuhi peningkatan permintaan tenaga global.

Antara perkara utama yang menjadi topik penting ialah pembangunan sistem tenaga yang boleh dipercayai, peluasan elektrifikasi dan tenaga rendah karbon, selain peranan kecerdasan buatan (AI) serta mobilisasi modal dalam membentuk sistem tenaga masa depan.

Perbincangan turut menyentuh laluan tenaga masa depan dalam menghadapi perubahan landskap geopolitik, peningkatan elektrifikasi dan perkembangan pesat ekonomi digital.

Sesi berkenaan merupakan sebahagian daripada siri Leadership Roundtables 2026 yang meneroka bagaimana sistem tenaga dapat menyokong pertumbuhan ekonomi dalam persekitaran global yang semakin mencabar.

Penyertaan Abang Johari dalam platform berkenaan turut mencerminkan keterlibatan Sarawak dalam perbincangan lebih luas mengenai masa depan tenaga.

Ini terutama ketika sektor itu berdepan perubahan besar susulan perkembangan teknologi, keperluan penyahkarbonan dan peningkatan permintaan tenaga.

GASTECH 2026 berlangsung di Bangkok International Trade and Exhibition Centre (BITEC) Thailand dari 14 hingga 17 September. — TVS

Read Entire Article