ADVERTISE HERE
BANGKOK, 15 Sept: ASEAN perlu mewujudkan kerangka dan platform bersama bagi mempercepatkan proses realisasi grid tenaganya, sekali gus membolehkan perkongsian rentas sempadan yang lebih berkesan di rantau ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kerangka bersama itu penting bagi menyelaraskan aspek kawal selia serta mekanisme harga tenaga antara negara anggota.
Menurutnya tanpa persefahaman dan kerangka yang dipersetujui secara konsensus, usaha menghubungkan sistem tenaga negara-negara ASEAN akan berdepan cabaran untuk direalisasikan sepenuhnya.
“ASEAN perlu mempunyai satu kerangka, platform bersama serta persefahaman dalam kalangan negara anggota bagi merealisasikan hubungan tenaga ini,” katanya ketika sesi fireside chat sempena GASTECH 2026 di Bangkok pada Isnin.
Abang Johari berkata, ASEAN tidak semestinya perlu membangunkan pendekatan baharu, sebaliknya boleh mengambil iktibar daripada model integrasi tenaga di Eropah dan menyesuaikannya dengan keperluan rantau ASEAN.
“Kita tidak perlu mencipta sesuatu yang baharu, sebaliknya melihat bagaimana Kesatuan Eropah menguruskan rangkaian tenaga mereka dan menyesuaikannya dengan persekitaran ASEAN,” katanya.
Menurutnya Sarawak bersedia memainkan peranan penting dalam usaha itu berdasarkan potensi tenaga boleh diperbaharui yang dimilikinya.
Dengan lebihan kapasiti tenaga Sarawak, Abang Johari berkata ia membuka ruang untuk membekalkan tenaga kepada negara jiran termasuk Singapura, Brunei
Perkongsian tenaga itu jelasnya, bukan sekadar peluang ekonomi kepada Sarawak, tetapi sebahagian daripada usaha lebih besar untuk mengukuhkan keselamatan dan kemampanan tenaga ASEAN.
Beliau menegaskan, pertumbuhan ekonomi dan penyahkarbonan perlu bergerak seiring, dengan Sarawak memanfaatkan gabungan tenaga hidro, solar, biojisim, gas serta teknologi baharu seperti hidrogen dan penangkapan serta penyimpanan karbon (CCUS).
Dalam pada itu, beliau melihat gas sebagai bahan api peralihan rendah karbon yang masih mempunyai peranan penting dalam pembangunan industri.
Katanya ia termasuk sektor petrokimia dan penghasilan bahan api alternatif seperti metanol dan ammonia.
Mengenai hidrogen pula, Abang Johari menjangkakan kemajuan teknologi akan membantu mengurangkan kos pengeluarannya dalam tempoh antara 2030 hingga 2035.
Ketika ditanya apakah perkara yang mahu dilihat sebagai identiti baharu Sarawak menjelang 2030, Abang Johari berkata negeri itu mahu dikenali sebagai pembekal dan rakan kongsi tenaga kepada ASEAN.
“Pembekal tenaga kepada ASEAN dan berkongsi tenaga ini bagi memacu pertumbuhan ekonomi serta masa depan Sarawak,” katanya.
Katanya, perkongsian tenaga itu penting bagi membolehkan negara-negara di rantau ini terus bergerak secara bersama dalam menghadapi keperluan tenaga masa depan.
Visi itu meletakkan Sarawak sebagai pemain penting dalam integrasi tenaga ASEAN, ketika permintaan elektrik dan keperluan tenaga rendah karbon terus meningkat. — TVS

1 hour ago
3








English (US) ·