Azalina: Reformasi pengasingan kuasa Peguam Negara, Pendakwa Raya proses yang panjang

10 months ago 66
ADVERTISE HERE

KUALA LUMPUR: Reformasi pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya merupakan satu proses yang panjang, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said (gambar).

Beliau berkata sebagai negara yang mempunyai pelbagai undang-undang, kerajaan memerlukan lebih banyak masa untuk melakukan kajian menyeluruh dan mendalam supaya keputusan yang dibuat tidak berubah di kemudian hari.

“Kita dapat lihat negara-negara lain yang buat keputusan pengasingan kuasa, ada yang berpatah balik, ini masalah besar... sebab itu, kita perlukan satu kajian menyeluruh dan mendalam... Hal ini diperlukan supaya keputusan pengasingan kuasa bersifat kekal pada masa akan datang,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Negara di sini hari ini.

Azalina berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Dr Nuing Jeluing yang ingin tahu bila pengasingan kuasa Pendakwa Raya dari Peguam Negara dapat dilaksanakan.

Beliau berkata di sebalik komitmen untuk melaksanakan pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya, pihaknya menuntut agar kestabilan kerajaan tidak diganggu-gugat bagi membolehkan undang-undang berkaitan dipinda sebelum pengasingan peranan itu dimuktamadkan.

“Pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya adalah satu proses panjang... reformasi institusi perlukan pindaan kepada Perlembagaan dan ia tidak akan dicapai kalau kerajaan tidak stabil,” katanya.

Pada 9 Okt lepas, Azalina berkata agenda pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya akan dilakukan secara berfasa selepas kerajaan mengambil kira kerumitan serta cabaran pelaksanaannya.

Menerusi Fasa Pertama, Pasukan Petugas Khas Kajian Komparatif sedang menjalankan kajian ke atas beberapa negara bagi meneliti dan merangka model yang paling sesuai dalam konteks Malaysia.

Fasa Kedua akan melibatkan Pasukan Petugas Khas Teknikal yang akan meneliti secara komprehensif implikasi perundangan, perjawatan dan kewangan sebelum menyediakan Laporan Interim untuk pertimbangan Jemaah Menteri.

Fasa Ketiga pula membabitkan sesi libat urus bersama dengan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak serta pihak berkepentingan ain termasuk agensi penguatkuasaan. -Bernama

Read Entire Article