ADVERTISE HERE
BERJAYA mengakhiri perlumbaan larian sejauh 42 kilometer bukan satu perkara yamg mudah apatah lagi jika mempunyai kekurangan fizikal, tidak seperti insan normal yang lain.
Namun bagi tiga sekawan berkerusi roda, perkara itu tidak mustahil apabila mempunyai niat dan semangat yang jitu dalam apa jua yang dilakukan.
Berkongsi cerita, Razali Cantik, 36, berkata, beliau tidak pernah menyangka untuk bergiat aktif dalam acara larian apatah lagi dengan kedaan fizikalnya.
Dengan pengaruh kuat rakannya, Razali cuba mencabar diri dengan berjinak-jinak dengan dunia maraton.
“Cabar diri setakat mana kita boleh buat, pada masa sama kita boleh jumpa kawan-kawan yang tidak pernah jumpa.
Mereka memang beri sokongan baik dan kadang-kadang kita support dia, dia support kita. Seronoklah, satu benda yang positif,” ujarnya ketika ditemui usai mengakhiri maraton 42 kilometer pada Kuala Lumpur Standard Charted (KLSCM) 2026 di ibu negara.
Berjaya menghabiskan larian jarak jauhnya dalam tempoh lima jam, Razali pada masa sama mengajak mereka yang mempunyai kekurangan fizikal untuk buang rasa malu dan beranikan diri bergaul dengan komuniti.
Selain itu, sokongan keluarga khususnya, memainkan peranan penting bagi memastikan golongan istimewa ini tidak rasa terpinggir.
“Bagi saya, orang yang kurang upaya ini, jangan malu nak berhadapan dengan orang ramai.
Kita kena yakin, kalau malu, susahlah. Lagi satu, keluarga, ibu dan ayah kena beri sokongan bagi kata semangat, bagi dia keluar jumpa orang ramai macam ni,” tambahnya lagi.
Bagi rakannya, Tan Wei Meng, meskipun malu pada awalnya, beliau kini berjaya mengakhiri maraton dalam tempoh tiga jam.
“Rasa bangga, rasa gembira dapat habiskan maraton ini,” luahnya.
Sementara itu, bekas atlet Para Negara, Luke Chua, 43, berpandangan, larian merupakan sukan yang terbuka kepada semua, tanpa mengira usia, keupayaan atau latar belakang.
“Larian ini satu sukan yang sihat dan maraton juga tiada jurang umur, perbezaan lelaki dan perempuan semua boleh turut serta, ada pelbagai kategori 5km, 10km, 21km, dan 42km,” jelas Luke.
Luke Chua merupakan bekas atlet para negara dalam sukan bola keranjang berkerusi roda dan pernah mewakili Malaysia di kejohanan Para ASEAN serta Para Asia dari 2004 hingga 2023.
Selepas bersara daripada sukan kompetitif, beliau kini aktif dalam dunia maraton sebagai wadah untuk terus kekal cergas dan aktif bersukan.
Penyertaan di KLSCM 2026, merupakan tahun ketiga buat Luke Chua menyahut cabaran larian jarak penuh 42 kilometer.
Untuk rekod, ini merupakan penganjuran ke-18 KLSCM dengan seramai 43,800 pelari dari 53 negara.
KLSCM 2026 melabuhkan tirainya pada Ahad selepas berlangsung selama dua hari di ibu negara. -TVS
The post Berkerusi roda bukan halangan akhiri maraton 42km appeared first on TVS.

1 week ago
33








English (US) ·