ADVERTISE HERE
KUCHING, 15 Sept: Dua beranak berjaya diselamatkan selepas sebuah rumah di Lorong Sim Kheng Hong 2, Kenyalang Park di sini, terbakar awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.58 pagi itu, mangsa, Lewis Lau Lee Wei, 39, dan ibunya, Yii Siew Chuo, 70, berada di tingkat atas rumah ketika kebakaran berlaku.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padungan menerima panggilan kecemasan pada jam 2.58 pagi sebelum tiba di lokasi kira-kira tiga minit kemudian.
“Pasukan bomba mendapati kebakaran melibatkan sebuah bilik di tingkat bawah berkeluasan kira-kira 10 x 10 kaki yang terbakar 80 peratus, manakala ruang tamu rumah turut terjejas kira-kira 20 peratus.
“Pasukan bomba menggunakan dua aliran salur bantu mula bagi memadam kebakaran, selain menjalankan operasi menyelamat selepas bimbang terdapat mangsa yang terperangkap di dalam rumah,” kata kenyataan itu.
Kedua-dua mangsa berjaya dibawa keluar dengan selamat dari bilik di tingkat atas dan kemudian diserahkan kepada ahli keluarga.
Kebakaran berjaya dikawal pada jam 3.40 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.10 pagi selepas keadaan disahkan selamat.
Operasi diketuai PBK I Mohammad Noruddin Yunus dengan kekuatan lapan anggota membabitkan sebuah jentera FRT dan sebuah EMRS, selain turut dibantu dua anggota PDRM serta dua anggota Sarawak Energy Berhad (Sesco).-TVS

1 hour ago
5








English (US) ·