ADVERTISE HERE
KUALA LUMPUR, 8 Sep: Kuching City FC tampil dominan apabila membelasah Kelantan Red Warriors (KRW) 5-1 dalam aksi pusingan kedua Piala FA di Stadium Bola Sepak Cheras, malam ini.
Kemenangan bergaya itu menyaksikan Kuching City mengesahkan kemaraan ke peringkat suku akhir.
Kuching City membuka tirai jaringan seawal minit ke-10 menerusi Dylan Wenzel-Halls yang menyudahkan hantaran cantik Filemon Anyie untuk meletakkan pasukan dari Sarawak itu di hadapan.
Perlawanan kemudiannya terhenti seketika susulan masalah kerosakan lampu limpah ketika kedua-dua pasukan sedang rancak melakukan serangan.
Bagaimanapun, gangguan tersebut tidak menjejaskan momentum Kuching City apabila mereka kembali menggandakan kelebihan menerusi Safawi Rashid pada minit ke-22.
Bersambung babak kedua, Kuching City terus memperlihatkan penguasaan permainan apabila Ronald Ngah Wanjah menambah gol ketiga pada minit ke-53 selepas mudah menewaskan penjaga gol Kelantan Red Warriors, Amin Faisal Mohd Saidi.
Kelantan Red Warriors kemudian merapatkan jurang pada minit ke-66 menerusi jaringan Mazuan Che Mat, sekali gus memberi sedikit kelegaan kepada penyokong mereka yang hadir menyaksikan perlawanan di ibu negara.
Kuching City kembali melebarkan kelebihan dua minit kemudian selepas pengadil, Mohammad Zamzaidi, menghadiahkan sepakan penalti susulan kekasaran Iskandar Shah terhadap Ramadhan Saifullah di dalam kawasan kotak penalti.
Ronald Ngah Wanjah tenang menyempurnakan sepakan penalti tersebut untuk jaringan keduanya dan gol keempat Kuching City.
Kuching City melengkapkan pesta gol pada minit ke-80 apabila pertahanan import kelahiran Jepun, Kaishu Yamazaki, menanduk masuk gol kelima bagi memastikan kemenangan 5-1.
Kemenangan itu sekali gus mengesahkan kemaraan Kuching City ke peringkat suku akhir Piala FA.
Di peringkat tersebut, Kuching City bakal berdepan Kelantan City yang terlebih dahulu menyingkirkan Negeri Sembilan dengan agregat 4-3. -TVS

4 hours ago
3






English (US) ·