ADVERTISE HERE
SIBU, 20 Sept: Seorang lelaki maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kenderaan di Kilometer 5, Jalan Salim, berhampiran Sibu Water Board, awal pagi tadi.
Dalam kejadian sekitar jam 2.25 pagi itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Herbert Augustine Andoh, 44, manakala tiga mangsa lain yang cedera ialah Frederick Jetie August, 33, Rodney Belayong Alexander, 28, dan Handry Alexander, 39.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral tiba di lokasi pada jam 2.44 pagi dan mendapati seorang mangsa tersepit di dalam kenderaan.
“Pasukan bomba kemudian menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.Mangsa berjaya dikeluarkan sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi kejadian.
“Sementara itu, tiga lagi mangsa yang cedera dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut menggunakan dua kenderaan EMRS dan sebuah ambulans KKM,” kata kenyataan itu.
Mangsa yang meninggal dunia kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi yang diketuai PBK I Salaini Oda itu melibatkan lapan anggota bersama sebuah jentera FRT dan sebuah EMRS. Operasi tamat sepenuhnya pada jam 3.58 pagi selepas keadaan di lokasi disahkan selamat dan terkawal.-TVS

4 hours ago
6








English (US) ·