MPS lonjak 29 anak tangga, kini keenam terbaik negara

56 minutes ago 4
ADVERTISE HERE

SIBU, 13 Sept: Majlis Perbandaran Sibu (MPS) mencatat pencapaian membanggakan apabila melonjak 29 anak tangga ke kedudukan keenam daripada 42 majlis perbandaran di seluruh negara dalam Penarafan Bintang Pihak Berkuasa Tempatan (SPB-PBT) 2026.

Lebih membanggakan, MPS mengekalkan penarafan lima bintang dengan skor keseluruhan 91.95 peratus, sekali gus muncul sebagai majlis perbandaran dengan kedudukan tertinggi di Sarawak.

Pengerusinya, Clarence Ting berkata, pencapaian di peringkat kebangsaan itu membuktikan keupayaan MPS untuk berada pada tahap setanding dengan pihak berkuasa tempatan di Semenanjung Malaysia.

Katanya, kedudukan keenam tersebut merupakan hasil usaha bersama ahli majlis, pihak pengurusan dan seluruh warga kerja MPS dalam meningkatkan pengurusan serta mutu penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.

“Sebagai rakyat Sarawak, saya sangat berbangga kerana kita mampu mencapai kedudukan ini di peringkat kebangsaan. Ini menunjukkan kita telah melakukan sesuatu yang setara dengan pihak berkuasa tempatan di Semenanjung,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutupan Festival Kebudayaan Borneo 2026 di Dataran Tun Tuanku Bujang, Sibu, malam tadi.

Menurut Clarence, prestasi MPS menunjukkan peningkatan konsisten apabila skor keseluruhan meningkat daripada 87.60 peratus pada 2022 kepada 91.55 peratus pada 2024 dan seterusnya 91.95 peratus pada 2026.

Beliau berkata, penilaian 2026 merangkumi komponen pengurusan sebanyak 13.24 peratus, perkhidmatan teras 41.25 peratus, pengurusan pelanggan 13.33 peratus dan penyertaan komuniti 14.13 peratus, selain MPS memperoleh markah penuh bagi komponen Public Service Core Competency (PSCR) dan pensijilan Jabatan Audit Negara (KAN).

Clarence berkata, pencapaian berkenaan bukan kejayaan individu, sebaliknya hasil komitmen seluruh warga kerja dan ahli majlis, selain menegaskan maklum balas masyarakat amat penting bagi mengenal pasti kelemahan serta ruang penambahbaikan.

Katanya, penarafan lima bintang itu juga bukan titik akhir kerana masih terdapat beberapa bidang yang perlu diberi perhatian, termasuk latihan dan kepuasan kerja warga kerja, kemudahan OKU, tenaga boleh diperbaharui, penuaian air hujan, kitar semula, kepuasan pengguna perpustakaan serta pembangunan pusat arahan (command centre).

Turut menjadi fokus ialah usaha mendapatkan pengiktirafan bandar pintar, pelaksanaan inisiatif Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) serta analisis terhadap aduan berulang, manakala Clarence turut merakamkan penghargaan kepada bekas Setiausaha Perbandaran MPS, Yong Ing Chu, atas sumbangan beliau.

Keputusan SPB-PBT 2026 diumumkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada Konvensyen PBT Kebangsaan dan Sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia Peringkat Kebangsaan 2026 di Pulau Pinang, semalam, dengan MPS menjadi satu-satunya majlis perbandaran di Sarawak yang memperoleh lima bintang, manakala Majlis Daerah Bau turut menerima penarafan sama bagi kategori majlis daerah.-TVS

Read Entire Article