ADVERTISE HERE
SONG, 15 September: Sebanyak 45 individu dan 44 kenderaan diperiksa, manakala empat saman dikeluarkan dalam Operasi Bersepadu Cegah Jenayah yang dilaksanakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Song hari ini.
Ketua Polis Daerah Song, DSP Benedict Faris Jimoy memaklumkan, operasi bermula jam 9 pagi di sekitar Pekan Song dan Jalan Temalat dengan kekuatan 14 Pegawai Rendah Polis (PRP) daripada pelbagai cawangan dan bahagian diketuai Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPD Song, Inspektor Lucy Ronald Jubang.
“Operasi dan program ini merupakan usaha berterusan IPD Song dalam meningkatkan tahap keselamatan awam melalui rondaan, pemeriksaan serta kehadiran polis secara berterusan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, operasi memberi tumpuan kepada pencegahan jenayah harta benda, pemeriksaan individu dan kenderaan mencurigakan, penguatkuasaan kesalahan lalu lintas serta pengesanan individu yang dikehendaki polis.
Selain penguatkuasaan, polis turut mengadakan sesi libat urus bersama peniaga dan masyarakat setempat di Pekan Song dengan memberi penerangan mengenai penggunaan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) bagi memudahkan orang ramai menyalurkan maklumat dan membuat aduan kepada polis.
Risalah berkaitan pendaftaran VSP serta trend semasa jenayah komersil turut diedarkan, selain penerangan mengenai talian Hotline CCID Scam Response Centre JSJK Sarawak.
Peniaga juga dinasihatkan memasang kamera litar tertutup (CCTV) di premis masing-masing sebagai langkah meningkatkan tahap keselamatan.
Orang ramai yang menjadi mangsa atau mempunyai maklumat berkaitan penipuan boleh menghubungi CCID Scam Response Centre di talian 03-2610 1559 atau 03-2610 1599. – TVS

51 minutes ago
3








English (US) ·