ADVERTISE HERE
SIBU, 14 Sept: Semangat patriotisme tidak seharusnya hanya ditunjukkan ketika sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui sikap serta tindakan dalam kehidupan seharian.
Residen Bahagian Sibu, Superi Awang Said berkata, patriotisme bermula dengan perkara asas termasuk mematuhi undang-undang, menjaga keharmonian masyarakat, menghormati kepelbagaian agama dan budaya serta memelihara kemudahan awam.
“Penghayatan terhadap Hari Malaysia perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas. Ia bukan semata-mata sambutan berbentuk perayaan, tetapi merupakan kesempatan untuk kita memahami sejarah, menghargai kepelbagaian serta mengukuhkan semangat kebersamaan sebagai sebuah negara yang berdaulat,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalan Residen Bahagian Sibu, Christopher Ranggau Unting pada Majlis Perasmian Pameran Mini Sempena Hari Malaysia 2026 Peringkat Bahagian Sibu di perkarangan Pasaraya Bisonte, di sini, hari ini.
Menurutnya, semangat patriotisme bukan sekadar melalui pengibaran bendera, tetapi turut terpancar menerusi sikap bertanggungjawab sebagai rakyat.
Tambahnya, generasi hari ini perlu memahami bahawa keamanan, kestabilan dan kemakmuran yang dinikmati merupakan hasil perjuangan, pengorbanan, toleransi serta kebijaksanaan generasi terdahulu.
“Tanpa memahami sejarah, kita mungkin mengambil mudah nikmat keamanan yang ada pada hari ini. Justeru, sejarah perlu dijadikan sebagai panduan untuk kita melihat ke hadapan dan bukannya sekadar untuk mengimbau masa lalu,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau menyeru masyarakat Sibu menghidupkan semangat cintakan negara dengan mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Ibu Pertiwi di rumah, premis perniagaan, pejabat serta lokasi bersesuaian sepanjang sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia.
“Masyarakat turut diseru mempertahankan keharmonian dengan tidak menjadikan perbezaan kaum, agama, budaya atau pandangan sebagai penghalang untuk bekerjasama, sebaliknya mencari titik persamaan dan memperkukuh nilai saling menghormati,” jelasnya.
Dalam pada itu, Superi menyifatkan Pameran Mini Hari Malaysia 2026 Sibu sebagai platform yang baik untuk masyarakat memahami sejarah pembentukan Malaysia, menghayati perjalanan negara serta memperkukuh semangat patriotisme dan perpaduan.
Menurutnya, pengunjung berpeluang mendapatkan maklumat menerusi bahan pameran berkaitan sejarah pembentukan Malaysia serta sumbangan Sarawak dalam pembentukan negara.
Pameran selama tujuh hari itu dianjurkan Jabatan Penerangan Malaysia Daerah Sibu dengan kerjasama UKAS Bahagian Sibu, Jabatan Premier Sarawak.
Ia dilaksanakan selaras dengan Pameran Hari Malaysia peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) dari 10 hingga 16 September.
Antara pengisian pameran ialah sejarah penubuhan Malaysia, kuiz kenegaraan serta pengedaran risalah, Jalur Gemilang dan bendera Ibu Pertiwiku.-TVS

1 hour ago
5








English (US) ·