ADVERTISE HERE
KUCHING, 20 Sept: Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) EVfy Run 2026 yang menampilkan dua kategori larian, iaitu 3 kilometer dan 7 kilometer mencatat sambutan menggalakkan apabila menghimpunkan lebih 2,000 peserta hari ini.
Presiden PEKEMA Malaysia, Datuk Nazari Nordin berkata, sambutan yang diterima pada penganjuran kali ini membuka ruang untuk PEKEMA Evfy Run diteruskan sebagai acara tahunan, bergantung kepada perancangan pihak penganjur.
“Sambutan menggalakkan yang diterima dalam penganjuran EVfy Run 2026 dilihat membuka ruang untuk acara larian berkenaan diteruskan sebagai program tahunan pada masa akan datang.
“Selain terdapat potensi untuk memperluaskannya ke bandar-bandar lain di Sarawak supaya manfaat serta penyertaan dalam program yang menggalakkan gaya hidup sihat ini dapat diperluas kepada lebih ramai masyarakat di seluruh negeri,” katanya ketika detemui media pada PEKEMA EVfy Run 2026 di sini, pada Ahad.
Selain penganjuran acara larian, PEKEMA EVfy Run 2026 turut diserikan dengan penyampaian sumbangan oleh PEKEMA kepada beberapa agensi kebajikan, termasuk Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Persatuan Kebajikan Anak-anak Yatim Sarawak (PERYATIM), Sarawak OKU Skills Development Association (SOSDA) dan Persatuan Kebajikan Kanak-kanak Terencat Akal Sarawak (PERKATA)sebagai sebahagian daripada usaha menyokong golongan yang memerlukan.
Tambahnya, masyarakat di peringkat antarabangsa semakin prihatin terhadap kepentingan kesihatan fizikal, seiring dengan usaha menyokong peralihan kepada teknologi hijau dan mobiliti lestari, selaras dengan hasrat Sarawak untuk menggalakkan penggunaan tenaga bersih serta mengurangkan jejak karbon.
Perkembangan itu dilihat sejajar dengan sambutan masyarakat terhadap aktiviti riadah, khususnya program yang memberi penekanan kepada kesihatan dan kecergasan.-TVS

4 hours ago
6








English (US) ·