PEKEMA sasar perluas pengedaran EV, infrastruktur pengecasan jadi tumpuan

4 hours ago 5
ADVERTISE HERE

KUCHING, 20 Sept: Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) menyasarkan lebih ramai ahlinya menceburi pengedaran kenderaan elektrik (EV) bagi menghadapi perubahan landskap industri automotif negara, khususnya dengan kemunculan jenama baharu dari China.

Presiden PEKEMA Malaysia, Datuk Nazari Nordin berkata, PEKEMA yang mewakili kira-kira 400 ahli dalam bidang pengimportan dan pengedaran kenderaan melihat peralihan kepada EV sebagai antara perkara utama yang perlu diberi perhatian oleh ahli persatuan.

“Cabaran pada tahun depan, 2027 ini akan menjadi lebih mencabar kerana kehadiran daripada jenama-jenama baharu dari China dan juga peralihan cita rasa pengguna daripada kereta yang menggunakan kenderaan berenjin pembakaran dalaman (ICE) kepada kereta EV. Pihak PEKEMA menggalakkan ahli-ahli kita untuk berkecimpung dalam pengedaran kereta EV, selain perniagaan yang sedia ada,” katanya ketika detemui media pada PEKEMA EVfy Run 2026 di Kuching pada Ahad.

Dari segi prestasi jualan, jumlah jualan kenderaan dalam kalangan ahli PEKEMA masih berada pada paras yang hampir sama setiap tahun, dengan persaingan daripada jenama sedia ada dan baharu serta peralihan kepada EV menjadi antara perubahan utama dalam pasaran.

Dalam pada itu, Presiden PEKEMA Sarawak, Ismail Abg Saufi berkata, penerimaan terhadap EV masih belum rancak berbanding Semenanjung Malaysia, antaranya disebabkan kebimbangan pengguna terhadap ketersediaan infrastruktur pengecasan.

“Sambutan terhadap kenderaan elektrik (EV) di Sarawak masih belum begitu menggalakkan berbanding Semenanjung Malaysia, berikutan sebahagian pengguna masih kurang yakin dengan ketersediaan infrastruktur pengecasan, meskipun kerajaan bersama beberapa agensi berkaitan kini sedang memperluas kemudahan tersebut, khususnya di pusat beli-belah.

“Manakala penyediaan stesen pengecasan di sepanjang laluan ke kawasan luar bandar masih perlu dipertingkatkan kerana kemudahan di kawasan rehat dan rawat (R&R) belum mencukupi seperti di Semenanjung Malaysia, dan penambahbaikan infrastruktur berkenaan dijangka dapat meningkatkan keyakinan serta permintaan terhadap EV di Sarawak dalam beberapa tahun akan datang,” katanya.-TVS

Read Entire Article