Pelaksanaan moratorium bantu kemas kini hala tuju industri besi, keluli selaras NIMP 2030 - Liew

11 months ago 70
ADVERTISE HERE

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan moratorium selama dua tahun mulai 15 Ogos 2023 membolehkan penelitian semula dijalankan untuk menangani cabaran yang dihadapi industri besi dan keluli tempatan serta mengemas kini hala tuju industri selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030), kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong.

Beliau berkata penggantungan sementara itu dikenakan untuk semua pertanyaan, penilaian permohonan semasa, permohonan baharu, pemindahan lesen, pembesaran, regularisasi dan pelbagai Lesen Pengilang (ML) serta pengeluaran surat pengesahan untuk pengecualian daripada Lesen Pengilang (ICA10) di bawah Akta Penyelarasan Perindustrian, 1975 (Akta 156) bagi aktiviti pengilangan dalam industri besi dan keluli, termasuk aktiviti kitar semula bagi segmen bukan ferus.

“Bagaimanapun, sekiranya terdapat permohonan ML yang menyokong agenda NIMP 2030, permohonan boleh dipertimbangkan pengecualian daripada moratorium.

“Ini termasuk projek pengeluaran produk besi dan keluli yang kompleks dengan nilai tambah tinggi serta dilengkapi dengan teknologi rendah karbon/pengurangan karbon seperti pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) yang menyokong misi dan aspirasi NIMP 2030,” katanya.

Liew ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 (Belanjawan 2024) peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini berkata sebarang permohonan ML baharu juga akan dinilai berdasarkan 12 parameter seperti sasaran yang telah ditetapkan di bawah NIMP 2030.

Beliau berkata buat masa ini, perincian lanjut mengenai kriteria penilaian sedang diperhalusi kerajaan.

Menurut Liew, pada masa sama, kapasiti besi dan keluli di Asia Tenggara dijangka terus meningkat.

Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan Malaysia perlu berbincang dengan China dan negara Asia Tenggara lain bagi menangani lebihan kapasiti yang dihadapi oleh industri keluli di rantau ini.

“Pada tahun lepas, jumlah kapasiti besi dan keluli di China adalah satu bilion tan, tetapi yang digunakan hanya 900 juta tan. Masalahnya, China menghadapi lebihan kapasiti besi dan keluli dan ada keadaan yang mana sektor pembinaan di China telah mengalami kemelesetan.

“Di Asia Tenggara, kapasiti besi dan keluli pada 2021 ialah 75 juta tan, tetapi pada 2026, jumlah kapasiti keluli dan besi dijangka meningkat kepada 150 juta tan,” katanya.

Berhubung pendekatan kementerian untuk syarikat tempatan menceburi pasaran eksport dengan lebih tersusun, Liew berkata kementerian menerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) memberi perhatian kepada pembangunan syarikat pengeksport, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana untuk menceburi pasaran eksport.

Langkah itu bertujuan meningkatkan eksport ke pasaran di bawah Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

“Kerajaan akan mengadakan perbincangan dengan negara lain yang belum mempunyai FTA termasuk Eropah dan Emiriah Arab Bersatu,” katanya.

Liew berkata pendekatan kerajaan dengan kerajaan (G2G) amat penting dalam pembangunan industri semikonduktor yang disifatkan sebagai industri strategik.

“Pada minggu lepas, Perdana Menteri Belanda (Mark Rutte) melawat Vietnam dan Malaysia bersama 25 pengusaha perniagaan yang terlibat dalam industri semikonduktor dan teknologi. Hasil daripada pertemuan itu pada 1 Nov 2023, satu dialog G2G berkenaan sektor semikonduktor antara Malaysia dan Netherlands akan diadakan,” katanya. - Bernama

Read Entire Article