ADVERTISE HERE
KUCHING, 19 Sept: Pengalaman menyaksikan perlawanan Liverpool yang berakhir dengan kemenangan 3-1 serta berkunjung ke Stadium Anfield pada 2024 menjadi antara kenangan paling istimewa buat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus.
Berkongsi pengalaman itu, John berkata, kunjungan berkenaan memberinya peluang untuk merasai sendiri kemeriahan dan suasana di stadium keramat Liverpool, meskipun tidak berkesempatan memijak rumput padang atas faktor keselamatan dan pemeliharaan keadaan padang.
Beliau turut melahirkan rasa syukur kerana berpeluang menjejakkan kaki ke stadium yang menjadi antara destinasi wajib buat peminat Liverpool tegar dari seluruh dunia, termasuk dirinya.
“Pada masa itu, kita mempunyai satu program di London. Saya bersama-sama Datuk Ding Kuong Hiing ketika itu.Saya bersama-sama Datuk Ding kerana dia belajar di Liverpool, sebab itulah dia minat Liverpool. Dia menjadi pemandu pelancong kami.
“Dia bawa saya dan dua lagi rakan ke seluruh stadium, dalam dan luar tetapi sayangnya kami tidak dapat pijak rumput sebab ia adalah perkara yang sangat dijaga (pihak pengurusan stadium) pada masa itu, ” katanya.
Pengalaman itu dikongsikan John ketika menyampaikan ucapan perasmian sempena sambutan ulang tahun pertama dan majlis makan malam Kelab Penyokong Liverpool Sarawak (KPLK) di sebuah hotel di Kuching pada malam Sabtu.
Majlis berkenaan menghimpunkan lebih 230 penyokong Liverpool, atau lebih dikenali sebagai The Reds, dari Sarawak, Sabah dan Semenanjung, selain turut disertai beberapa kanak-kanak dari Pusat Jagaan Kanak-Kanak The Salvation Army Kuching.
Sementara itu, Setiausaha Kehormat KPLK, Dennis Steven berkata, penubuhan kelab penyokong itu pada 18 September lalu bertujuan memperkukuh hubungan dalam kalangan penyokong Liverpool di Sarawak.
Menurutnya, selain telah berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, KPLK turut berperanan menyediakan platform kepada penyokong Liverpool di seluruh Sarawak untuk berkumpul dan menjalankan pelbagai aktiviti bersama.
“Salah satu aktiviti yang akan kita lakukan adalah menonton perlawanan secara langsung untuk setiap musim seperti Liga Perdana Inggeris (EPL).
“Kita akan umumkan kepada group penyokong bahawa kita akan adakan sesi menonton perlawanan di satu-satu tempat yang kita akan umumkan dari masa ke semasa, ” katanya.
Beliau turut berharap lebih ramai penyokong Liverpool tampil menyertai KPLK, sekali gus menghidupkan kelab penyokong pasukan gergasi Liga Perdana Inggeris itu di wilayah ini serta memperkukuh hubungan silaturahim dalam kalangan ahli. -TVS

6 hours ago
6








English (US) ·