RGC perlu ada kegiatan ekonomi – Dr Rundi

10 months ago 104
ADVERTISE HERE
Dr Rundi (tengah) di majlis penyerahan PPD Padawan oleh Setiausaha Tetap M-FICORD Sirai Daha (kiri) kepada Pegawai Tadbir Khas GKCDA Datu Ik Pahon.

PADAWAN, 22 Jan: Program pembangunan Pusat Pertumbuhan Desa atau Rural Growth Centre (RGC) yang diperkenalkan pada tahun 1990 perlu diberi suntikan baharu dengan mewujudkan pelbagai aktiviti ekonomi.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD) Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom berkata, hanya dengan kegiatan ekonomi RGC dapat mencapai matlamatnya.

“Perlu diingatkan Sarawak ada sebanyak 11 RGC dan mungkin 5 sahaja yang berjaya, ini mungkin program pembangunan yang terbengkalai atau mungkin kurang peruntukan ketika pelaksanaan dahulu.

“Sekarang kerajaan negeri memiliki kewangan untuk menyediakan peruntukan besar dan kita fikirkan kaedah terbaik.

“Sangat mudah, kita wujudkan aktiviti ekonomi dan sudah tentu peniaga, pelabur dan penduduk sekitarnya akan datang,” kata Dr Rundi.

Beliau berkata demikian di Majlis Penyerahan RGC Padawan kepada Greater Kuching Coordinated Development Agency (GKCDA) di Pejabat Daerah Kecil Padawan hari ini.

Menurut beliau, pemilihan lokasi yang tidak tepat mungkin antara penyebab RGC tidak berjaya selama ini.

Katanya, adalah penting untuk memastikan bahawa kawasan tersebut memiliki kegiatan ekonomi yang vibran sebelum RGC diwujudkan.

“Sebagai contoh contoh jika RGC diwujudkan di Simpang Niah dimana kawasannya ada ramai pekebun kecil kelapa sawit.

“Sudah tentu sekarang Simpang Niah akan membangun seperti Serian,” kata Dr Rundi.

Dengan pengambil alihan RGC Padawan, GKCDA merancang pembangunan seperti pembinaan dewan serbaguna, Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC), rumah ibadat, kedai 2 tingkat, pasar tamu dan petrol kiosk.

PPD Padawan terletak kira-kira 35 km dari Bandaraya Kuching berkeluasan 6.40 hektar.

Terdahulu, sejumlah RM6.5 juta telah diperuntukkan bagi melaksanakan kerja-kerja insfrastruktur asas seperti jalan raya, sistem perparitan dan utiliti.

Agensi yang sedia beroperasi di PPD Padawan adalah Pejabat Daerah Kecil Padawan dan Klinik Kesihatan Bayur bagi memberi perkhidmatan kepada Masyarakat setempat. — DayakDaily

Read Entire Article