‘Tak dibayar gaji 19 tahun’, 90% aduan diterima kedutaan Indonesia berkait amah

1 year ago 106
ADVERTISE HERE

Duta Besar Hermono menggesa agar penyelesaian segera dicari bagi mengakhiri isu penganiayaan pembantu rumah Indonesia.

Duta Besar Hermono berkata penganiayaan pembantu rumah Indonesia menunjukkan trend membimbangkan.

PETALING JAYA: Kira-kira 90% aduan diterima Kedutaan Indonesia berkait pekerja domestik, dengan ada yang tidak dibayar gaji selama 19 tahun, menurut Duta Besar Indonesia Hermono.

Justeru, beliau menegaskan penganiayaan pembantu rumah Indonesia, yang menunjukkan trend membimbangkan, memerlukan penyelesaian segera dan tuntas daripada majikan serta penguatkuasaan lebih ketat oleh pihak berkuasa.

Tambahnya, penyelesaian isu itu penting bukan sahaja demi kebajikan pekerja Indonesia tetapi juga hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

“Laporan turut menunjukkan terdapat kes dera dan penganiayaan seperti tidak diberi makanan, justeru menekankan kepentingan untuk intervensi,” katanya selepas Mesyuarat Agung Konsulat Indonesia, lapor Bernama.

Penganiayaan turut membabitkan pekerja tidak berdaftar, yang mungkin ekoran ketiadaan kontrak perkhidmatan, menurut Hermono.

Beliau berkata, terdapat majikan yang tidak mendaftarkan pekerja kerana cuba mengelak membayar levi dan bayaran wajib lain, justeru menambah kepada peningkatan pekerja domestik tanpa dokumen.

“Ia kewajipan majikan untuk mendaftarkan pembantu domestik mereka dengan pihak berkuasa, bukannya pekerja. Kami harap pihak berkuasa akan bertindak segera terhadap isu ini,” katanya.

Hermono berkata, susulan wabak, jumlah pekerja Indonesia berdaftar di Malaysia turun ketara daripada 1.2 juta kepada 480,000 orang.

Bagaimanapun, jumlah pekerja tidak berdaftar dijangkakan hampir dua kali ganda lebih tinggi, tambahnya.

Beliau berkata, pekerja Indonesia kini lebih bertumpu pada sektor perladangan, terutama di Sabah dan Sarawak.

Dalam sektor pembinaan terdapat penurunan pekerja Indonesia berikutan kepesatan industri itu di negara mereka.

Tags

aduanamahaniayaDuta BesarHermonokedutaan indonesiapekerja asingpekerja domestikWarga Indonesia

Related news

Read Entire Article