ADVERTISE HERE
MIRI, 12 Sept: Seramai 2,600 pelajar sekolah menengah di Sarawak bakal menerima MyLesen B2 Sekolah (MyB2S) yang membolehkan mereka mendapatkan lesen memandu secara percuma sebelum menamatkan persekolahan.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan menyediakan golongan muda dengan kelayakan yang diperlukan sebelum melangkah ke alam pekerjaan.
Katanya, Program MyB2S menyasarkan 60,000 pelajar sekolah menengah di seluruh negara dengan peruntukan sebanyak RM18.5 juta.
“Kita mahu mereka melangkah ke alam pekerjaan dengan lebih bersedia, mempunyai kelayakan yang diperlukan dan tidak lagi dibebani kos mendapatkan lesen memandu selepas tamat persekolahan.
“Inilah komitmen kerajaan dalam memberi perhatian dan membuat pelaburan terhadap potensi anak-anak muda,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Program Bantuan MyLesen Parlimen P.218 Sibuti di Dewan Masyarakat Bekenu, dekat sini, hari ini.
Dalam pada itu, Hasbi turut menekankan kepentingan pendidikan dan kesedaran keselamatan jalan raya dalam kalangan pengguna baharu, khususnya penunggang motosikal.
Menurutnya, sebanyak 6,537 kes kematian akibat kemalangan jalan raya direkodkan di seluruh negara pada 2025, dengan kira-kira 66 peratus melibatkan penunggang motosikal.
Katanya, aspek keselamatan perlu diberi perhatian seiring usaha memperluas akses rakyat kepada lesen memandu supaya setiap pemegang lesen mempunyai pengetahuan dan kemahiran mencukupi ketika berada di jalan raya. – TVS

1 hour ago
6








English (US) ·