ADVERTISE HERE
KUCHING, 13 Sept: Sambutan Ulang Tahun Ke-45 Lembaga Kemajuan Tanah Sarawak (LCDA) diraikan dengan pendekatan berbeza apabila sukan pickleball dijadikan platform untuk mengeratkan hubungan bersama agensi kerajaan, rakan strategik serta pemegang taruh.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki merasmikan perlawanan pickelball sempena Ulang Tahun ke-45 LCDA. Foto TVSPengurus Besar LCDA, Dato Sri Zaidi Mahdi berkata, sambutan menggalakkan terhadap kejohanan pickleball yang julung kali dianjurkan itu membuktikan kesediaan rakan-rakan strategik dan pemegang taruh untuk meluangkan masa bersama dalam suasana lebih santai.
Beliau berkata, acara tersebut bukan sekadar memberi peluang kepada peserta bersaing secara sihat, malah menjadi ruang untuk memperkukuh hubungan yang telah dibina LCDA sepanjang 45 tahun penubuhannya.
“Ia bukan sahaja menunjukkan populariti sukan pickleball yang semakin meningkat, tetapi yang lebih penting, ia mencerminkan kesediaan rakan-rakan dan pemegang taruh kita untuk meluangkan masa bersama, berinteraksi dalam suasana yang lebih santai serta mengeratkan lagi hubungan yang telah kita bina selama ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan perlawanan sukan pickleball sempena Ulang Tahun ke-45 LCDA, hari ini.
Menurutnya, sepanjang perjalanan LCDA, pelbagai kerjasama telah dilaksanakan bersama agensi kerajaan, rakan strategik dan pihak berkepentingan dalam menghadapi cabaran serta menjayakan pelbagai inisiatif.
Dalam pada itu, Zaidi berkata, jumlah penyertaan yang tinggi amat menggalakkan, khususnya bagi penganjuran pertama kejohanan tersebut.
Beliau berharap sambutan berkenaan menjadi permulaan kepada lebih banyak acara sukan dan aktiviti bersama yang dapat menghimpunkan LCDA, agensi kerajaan, organisasi serta rakan strategik pada masa akan datang.
“Saya fikir ini merupakan satu jumlah penyertaan yang amat menggalakkan, khususnya bagi kejohanan pickleball kita yang pertama.
“Ia jelas mencerminkan semangat dan sokongan yang diberikan oleh rakan-rakan kita, dan saya berharap ini akan menjadi permulaan kepada lebih banyak lagi acara sukan serta peluang untuk kita berkumpul dan mengeratkan hubungan pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berharap penganjuran program seperti itu dapat membuka lebih banyak peluang untuk LCDA dan rakan strategiknya berkumpul, sama ada menerusi aktiviti sukan, perbincangan mahupun kerjasama pada masa hadapan.
Seramai 324 pemain daripada 28 pasukan dan 17 pasangan VIP menyertai kejohanan berkenaan, dengan menawarkan hadiah wang tunai melebihi RM20,000, selain piala dan pingat kemenangan. – TVS

1 hour ago
5








English (US) ·