98.9 peratus kanak-kanak Sarawak dapat pendidikan prasekolah

1 day ago 6
ADVERTISE HERE

KUCHING, 25 Sept: Sebanyak 98.9 peratus kanak-kanak di Sarawak menerima pendidikan prasekolah sebelum memasuki Tahun Satu, menunjukkan akses pendidikan awal kanak-kanak di negeri itu kini hampir menyeluruh.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, berkata pencapaian berkenaan bagaimanapun tidak seharusnya dilihat sekadar angka, sebaliknya perlu menjadi dorongan untuk memastikan baki 1.1 peratus kanak-kanak turut mendapat akses kepada pendidikan prasekolah berkualiti.

Katanya, pencapaian itu hasil komitmen berterusan agensi kerajaan, penyedia swasta, komuniti, guru, pendidik dan ibu bapa dalam memastikan kanak-kanak mendapat asas pendidikan yang kukuh sejak peringkat awal.

“Ini menunjukkan pendidikan prasekolah di Sarawak kini hampir menyeluruh, namun usaha perlu diteruskan bagi memastikan tiada kanak-kanak tercicir,” katanya berucap pada Majlis Perasmian Konvensyen Antarabangsa Prasekolah Sarawak (SPIC) 2026 di sini, hari ini.

Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Fatimah berkata, usaha memperkukuh akses pendidikan awal kanak-kanak perlu bergerak seiring dengan aspek kesaksamaan dan kualiti supaya setiap kanak-kanak, tanpa mengira latar belakang atau keupayaan, mendapat sokongan diperlukan untuk berkembang.

Sehubungan itu, katanya, Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak sedang membangunkan Kerangka Pendidikan dan Penjagaan Awal Kanak-Kanak (ECCE) Sarawak bagi menyediakan hala tuju lebih jelas dan konsisten kepada sektor berkenaan.

Katanya, kerangka itu akan merangkumi aspek akses dan kualiti, keterangkuman, perkembangan serta pembelajaran kanak-kanak, profesionalisme pendidik, penglibatan keluarga, persekitaran selamat, pengesanan dan intervensi awal serta peralihan ke pendidikan formal.

“Kerangka ini juga bertujuan menentukan bentuk kualiti ECCE yang bersesuaian dengan konteks Sarawak serta menyelaraskan usaha pelbagai agensi dan penyedia perkhidmatan berdasarkan hasil yang ingin dicapai untuk kanak-kanak,” katanya.

Read Entire Article