Dua kedai serbaneka di Kuching disyaki jadi sasaran khianat

1 day ago 16
ADVERTISE HERE

KUCHING, 21 Sept: Dua kejadian khianat dengan api berlaku di dua kedai serbaneka 24 jam di Jalan Green Road dan kawasan King Centre di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu mengesahkan kedua-dua kejadian berlaku antara jam 7.05 malam hingga 8.30 malam.

“Dalam kejadian pertama di kawasan King Centre, pelaku menggunakan mercun dan tidak menyebabkan sebarang kerugian.

“Bagaimanapun, kejadian kedua di Jalan Green Road lebih serius apabila dua lelaki disyaki datang ke premis sebelum membaling objek ke dalam kedai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, tindakan itu menyebabkan dua letupan sebelum kebakaran berlaku di dalam premis berkenaan.

“Kebakaran kemudian berjaya dipadamkan oleh pihak bomba. Tiada maklumat lanjut mengenai jumlah kerugian dilaporkan setakat ini,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Alexson berkata, usaha mengesan dan mengenal pasti kedua-dua suspek sedang giat dijalankan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Tan Chiang Fook di talian 018-2628805 atau Bilik Gerakan IPD Kuching di talian 082-244444.-TVS

Read Entire Article