Pencalonan Miri City Mayor’s Award 2026 dibuka

50 minutes ago 4
ADVERTISE HERE

MIRI, 22 Sept: Pencalonan bagi Miri City Mayor’s Award 2026 kini dibuka kepada individu, organisasi, persatuan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kumpulan komuniti, institusi pendidikan serta sektor swasta yang menyumbang kepada pembangunan dan kesejahteraan bandar raya ini.

Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang berkata, anugerah berkenaan diwujudkan bagi menghargai sumbangan pelbagai pihak yang memberi impak positif kepada Miri, termasuk dalam aspek kesejahteraan komuniti, kelestarian alam sekitar, kebudayaan dan warisan, pendidikan, inovasi, pelancongan serta perniagaan.

“Pembangunan sesebuah bandar bukan tanggungjawab pihak berkuasa tempatan sahaja. Kemajuan Miri adalah hasil usaha bersama ramai pihak yang menyumbang masa, idea, kemahiran dan sumber dalam pelbagai cara.

“Anugerah ini memberi peluang untuk kita mengiktiraf sumbangan tersebut serta mengetengahkan kisah mereka kepada masyarakat,” katanya pada sidang media Miri City Mayor’s Award 2026, di sini, hari ini.

Tambahnya, terdapat ramai individu dan organisasi di Miri yang menyumbang secara berterusan tanpa mengharapkan pengiktirafan, termasuk mereka yang aktif dalam kerja sukarela, membantu komuniti, melindungi alam sekitar serta memperkasa golongan kanak-kanak dan belia.

Sebanyak 10 kategori dipertandingkan pada edisi 2026, merangkumi Miri Green and Sustainable Awards; Community Wellbeing, Health and Social Impact Award; Tourism, Hospitality and City Promotion Award; serta Business, Entrepreneurship and Economic Contribution Award.

Kategori lain ialah Innovation, Digital and Smart City Award; Media, Communications and Digital Influence Award; Education, Youth and Talent Development Award; Culture, Arts, Heritage and Sports Award; Grand Miri City Mayor’s Special Award dan Posthumous Recognition.

Anugerah berkenaan katanya turut terbuka kepada rakyat Sarawak, ekspatriat Malaysia dan calon antarabangsa, tertakluk kepada proses pencalonan yang ditetapkan.

“Pencalonan yang baik perlu menjelaskan apa yang telah dilaksanakan, bila dan di mana ia berlaku, peranan khusus calon, siapa yang mendapat manfaat serta impak atau hasil yang dicapai.

“Bukti sokongan seperti gambar, sijil, laporan rasmi, statistik, liputan media dan bahan program juga digalakkan bagi membolehkan sumbangan tersebut dinilai dan disahkan,” katanya.

Pencalonan dibuka mulai 22 September dan akan ditutup pada 22 Oktober 2026, jam 5 petang.

Orang ramai digesa mengemukakan pencalonan lebih awal dengan memastikan semua maklumat serta dokumen sokongan lengkap sebelum dihantar. – TVS

Read Entire Article