TYT, Premier hadiri Majlis Kesyukuran sempena Hari Malaysia 2026

40 minutes ago 8
ADVERTISE HERE

KUCHING, 15 Sept: Sambutan Hari Malaysia 2026 Peringkat Sarawak diteruskan dengan pengisian kerohanian menerusi Majlis Kesyukuran yang berlangsung di Masjid Jamek Negeri Sarawak, malam ini.

Majlis itu menyaksikan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.

Ketibaan Tun Wan Junaidi dan isteri pada jam 6.30 petang disambut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab Sambutan Hari Malaysia 2026, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah serta Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan PETROS), Datuk Ibrahim Baki.

Turut hadir, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki bersama dif-dif kenamaan yang lain.

Majlis berkenaan turut disertai hampir seribu jemaah dan orang ramai yang hadir bersama-sama menzahirkan kesyukuran sempena Sambutan Hari Malaysia 2026 Peringkat Sarawak.

Majlis dimulakan dengan solat fardu Maghrib berjemaah, sebelum diteruskan dengan bacaan Yaasin yang dipimpin oleh Imam Besar Sarawak, lDato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi.

Pengisian kerohanian diteruskan dengan alunan zikir marhaban bersama Gabungan Kumpulan Zikir Guru Al-Quran Majlis Islam Sarawak (MIS), sebelum bacaan doa kesyukuran disempurnakan oleh Imam Besar Sarawak.

Majlis Kesyukuran Sambutan Perayaan Hari Malaysia Peringkat Sarawak Tahun 2026 ini menjadi ruang untuk menzahirkan rasa syukur atas keamanan, keharmonian serta semangat perpaduan yang terus menjadi asas kehidupan masyarakat berbilang kaum di Sarawak.

Turut memeriahkan majlis ialah Menteri-Menteri dan dif-dif kenamaan yang bukan beragama Islam bersama pasangan masing-masing.

Acara diteruskan dengan solat fardu Isyak secara berjemaah sebelum diakhiri dengan jamuan makan malam yang diadakan bersama para tetamu kehormat dan orang ramai yang hadir.-TVS

Read Entire Article