Jabatan Hutan Sarawak buka 100 jawatan baharu

49 minutes ago 6
ADVERTISE HERE

KUCHING, 15 Sept: Jabatan Hutan Sarawak sedang melaksanakan proses pengambilan pegawai baharu membabitkan 100 kekosongan jawatan menerusi 10 skim perkhidmatan strategik bagi memperkukuh kapasiti serta keupayaan organisasi dalam pengurusan hutan negeri.

Pengarahnya, Datu Hamden Mohammad berkata, langkah itu diambil bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih berkesan kepada masyarakat dan negeri.

“Pengambilan ini merangkumi pelbagai jawatan strategik, antaranya Pemelihara Hutan, Pegawai Penyelidik, Jurutera, Pegawai Penguat Kuasa, Jurugeospatial, Penolong Pemelihara Hutan, Pengawas Hutan, Pembantu Penguat Kuasa, Pereka serta Pembantu Khidmat Am.

“Kehadiran pegawai baharu ini merupakan perkembangan amat penting kerana mereka sebahagian daripada generasi penerus yang akan menggalas tanggungjawab pengurusan hutan Sarawak pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Penilaian Tahun 2025 dan Penghargaan Pesara Tahun 2026 Jabatan Hutan Sarawak di sini, pada Selasa.

Mengulas lanjut, Hamden memaklumkan seramai 78 pegawai baharu telah pun melapor diri setakat 31 Ogos lepas, merangkumi 26 pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta 51 pegawai Kumpulan Pelaksana bagi menyertai barisan warga kerja jabatan.

Pada majlis berkenaan, Jabatan Hutan Sarawak turut meraikan 93 pegawai yang menerima APC bagi Penilaian Tahun 2025 serta menzahirkan penghargaan khas kepada 53 pegawai yang bakal menamatkan tempoh perkhidmatan secara rasmi pada tahun ini.

“Setiap seorang daripada 53 pegawai ini membawa bersama cerita, pengalaman dan sumbangan yang tersendiri, sama ada di pedalaman, meja pentadbiran mahupun bahagian teknikal.

“Sumbangan mereka disatukan oleh matlamat yang sama iaitu sebagai ‘Guardians of Forests’ bagi memastikan hutan Sarawak terus diurus dan dipelihara secara lestari,” ujarnya.

Bagi membudayakan prestasi tinggi secara berterusan, beliau menambah jabatan berkenaan turut mengamalkan enam kategori Anugerah Kecemerlangan Jabatan sejak 2018 untuk memberi motivasi kepada individu dan kumpulan di peringkat Bahagian, Unit serta Pejabat Hutan Wilayah.-TVS

Read Entire Article