Sarawak diiktiraf MBOR, tanam 31,260 anak pokok

58 minutes ago 8
ADVERTISE HERE

​KUCHING, 15 Sept : Jabatan Hutan Sarawak mencatatkan pencapaian bersejarah apabila dilakar dalam Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi penanaman 31,260 anak pokok daripada 82 spesies asli yang tersenarai dalam Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN) di Hutan Simpan Sabal dalam tempoh setahun.

​Pengarah Hutan Sarawak Datu Hamden Mohammad berkata, kejayaan tersebut mencerminkan kesungguhan jabatan dalam memulihkan kawasan hutan yang terdegradasi serta memelihara biodiversiti negeri secara berterusan.

​”Usaha pemulihan hutan di Hutan Simpan Sabal telah mencatat rekod Malaysia Book of Records apabila sebanyak 31,260 anak pokok daripada 82 spesies asli yang tersenarai dalam IUCN Red List berjaya ditanam dalam tempoh setahun.

​”Pencapaian ini memperlihatkan komitmen berterusan Jabatan Hutan Sarawak dalam memulihkan ekosistem dan memelihara biodiversiti Sarawak,” katanya pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 dan Penghargaan Pesara 2026 Jabatan Hutan Sarawak di sini, pada Selasa.

​Dalam aspek penghijauan negeri, Hamden memberitahu Sarawak terus mendepani agenda pemulihan ekosistem menerusi Kempen Penghijauan Malaysia apabila merekodkan jumlah penanaman kumulatif sebanyak 60,709,670 pokok setakat ini.

​”Pencapaian ini mencerminkan komitmen Sarawak dalam memperluas kawasan hijau, memulihkan ekosistem serta memastikan kelestarian alam sekitar untuk generasi akan datang,” ujarnya.

​Beliau menambah, usaha pemuliharaan alam sekitar negeri turut mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa apabila Jabatan Hutan Sarawak menerusi Greening Sarawak Campaign dipilih sebagai penerima Anugerah ASEAN Green Initiative (AGI) anjuran ASEAN Centre for Biodiversity di Manila, Filipina.

​”Anugerah ini sebagai pengiktirafan terhadap komitmen dan usaha berterusan dalam melaksanakan penanaman pokok spesies tempatan serta pemulihan dan restorasi ekosistem, sekali gus mencerminkan kesungguhan Sarawak dalam menyokong agenda kelestarian alam sekitar dan pemuliharaan biodiversiti di peringkat serantau,” tegasnya.

​Di peringkat tempatan, Jabatan Hutan Sarawak turut merai Anugerah Emas Kategori Agensi Kerajaan dalam Pertandingan Landskap sempena Kuching Light & Floral Festival 2026 anjuran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) pada Ogos lepas menerusi rekaan yang mengetengahkan elemen ikonik flora dan fauna Sarawak. – TVS

Read Entire Article