UNIMAS mahu manfaatkan ilmu, kepakaran untuk masyarakat

3 hours ago 7
ADVERTISE HERE

BAU, 12 Sept: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) tidak seharusnya hanya dikenali melalui kecemerlangan akademik, sebaliknya perlu memastikan ilmu dan kepakaran yang dimiliki dapat dirasai serta memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Prof. Dr. Ahmad Hata Rasit, berkata pendekatan itu penting bagi memastikan universiti memainkan peranan lebih besar dalam menangani keperluan dan cabaran masyarakat.

“Kita tidak mahu universiti hanya dikenali kerana kecemerlangan akademiknya. Kita mahu universiti dirasai kehadirannya oleh masyarakat.

“UNIMAS dan juga Konsortium Hospital Universiti Awam Malaysia (KHUAM) mempunyai kepakaran perubatan, tenaga akademik dan profesional, teknologi serta generasi muda yang penuh potensi. Kesemuanya perlu kita gerakkan untuk memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program KHUAM KPT Prihatin Madani di Dewan Serbaguna Kampung Bijuray Mogag, di sini, hari ini.

Menurut beliau, program berkenaan membawa mesej jelas bahawa aspek kesihatan bukan sekadar merawat apabila seseorang jatuh sakit, tetapi memerlukan pendekatan lebih awal, proaktif dan dekat dengan masyarakat.

Katanya, pendekatan berkenaan amat penting di Sarawak, mengambil kira keluasan geografi negeri serta kepelbagaian komuniti yang memerlukan pendekatan lebih dekat, fleksibel dan responsif.

“Jangan kita hanya menunggu masyarakat datang kepada kita. Kita juga perlu pergi kepada mereka. Pergi kepada komuniti yang memerlukan, mendengar suara mereka, memahami cabaran yang mereka hadapi dan hadir dengan ilmu, kepakaran serta keikhlasan untuk berkhidmat,” ujarnya.

Beliau berkata nilai sesebuah universiti akhirnya bukan hanya diukur berdasarkan apa yang berlaku di dalam kampus, tetapi melalui perubahan yang mampu dibawa kepada masyarakat di luar kampus.

Mengulas mengenai konsep Community-Driven University for a Sustainable World, katanya, UNIMAS bukan sahaja mahu melahirkan ilmu, tetapi menghidupkan ilmu, menggerakkan kepakaran serta bersama-sama membina masa depan masyarakat.

Beliau berkata setiap usaha turun padang berpotensi memberi kesan lebih besar daripada sekadar membantu seorang pesakit, malah mampu membantu sebuah keluarga, memperkukuh komuniti dan mengubah masa depan seseorang.

“Kerana setiap kali kita turun padang, mungkin kita bukan sekadar membantu seorang pesakit. Mungkin kita sedang membantu sebuah keluarga.

“Mungkin kita sedang memperkukuh sebuah komuniti. Dan mungkin, tanpa kita sedari, kita sedang mengubah masa depan seseorang,” katanya.

Program KHUAM KPT Prihatin Madani itu turut melibatkan kerjasama Hospital Pengajar UNIMAS dan Konsortium Hospital Universiti Awam Malaysia, selain disertai pemimpin masyarakat serta pihak berkaitan.

Program berkenaan menjadi sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan antara institusi pengajian tinggi dengan komuniti, khususnya dalam menyediakan perkhidmatan dan kepakaran yang dapat menyumbang kepada kesihatan, kesejahteraan serta pembangunan masyarakat di Sarawak.

Read Entire Article