ADVERTISE HERE
KUCHING, 15 Sept: Penganjuran Ekspo Hasil Hutan Bukan Kayu (NTFP) Zon Selatan 2026 berjaya mencatatkan jumlah hasil jualan sebanyak RM501,677.70, sekali gus membuktikan sumber hutan yang diurus secara mampan mampu menjana pendapatan dan memperkasa ekonomi komuniti setempat.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, penganjuran ekspo oleh Jabatan Hutan Sarawak dari 31 Julai hingga 9 Ogos lepas itu melibatkan penyertaan seramai 40 usahawan dan pengusaha komuniti dari seluruh negeri.
Menurutnya, pendekatan memperkasa komuniti menerusi hasil hutan bukan kayu merupakan satu perkembangan positif dalam merintis perspektif ekonomi baharu berasaskan sumber alam.
“Kita perlu melihat sumber hutan daripada perspektif ekonomi baharu.
“Potensi hasil hutan bukan kayu, perkhidmatan ekosistem, karbon, biodiversiti dan ekopelancongan semakin mendapat perhatian dalam ekonomi global.
“Pencapaian ini menunjukkan bahawa sumber hutan yang diurus secara mampan mempunyai potensi untuk menjana pendapatan dan membuka peluang ekonomi kepada komuniti setempat,” katanya pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 dan Penghargaan Pesara 2026 Jabatan Hutan Sarawak di sini, pada Selasa.
Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II berkata, model pembangunan sedemikian selari dengan hasrat Kerajaan Sarawak yang mahu pemuliharaan alam sekitar bergerak seiring dengan peningkatan taraf hidup rakyat.
“Inilah antara bentuk pembangunan yang kita mahukan, bukan sekadar memelihara sumber, tetapi memastikan pemuliharaan dan pengurusan mampan turut mewujudkan peluang, meningkatkan pendapatan serta memperkukuh kesejahteraan masyarakat, khususnya di kawasan luar bandar,” ujarnya.-TVS

54 minutes ago
7








English (US) ·