12 PPD buka semula sekolah Isnin, Serian dan Lubok Antu masih ditutup

1 hour ago 9
ADVERTISE HERE

KUCHING, 12 Sept: Semua sekolah rendah dan menengah di bawah seliaan 12 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Sarawak akan beroperasi seperti biasa mulai Isnin ini.

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak dalam kenyataan hari ini memaklumkan sekolah di bawah PPD Kuching, Padawan, Bau, Lundu, Samarahan, Simunjan, Sri Aman, Kanowit, Julau, Meradong, Bintulu dan Tatau/Sebauh dibuka semula pada 14 September ini.

“JPN Sarawak memutuskan bahawa semua sekolah menengah dan sekolah rendah di bawah seliaan 12 PPD berkenaan akan beroperasi seperti sediakala mulai 14 September 2026 (Isnin),” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, sekolah-sekolah terbabit menjalankan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selama seminggu.

Bagaimanapun, penutupan sementara sekolah di bawah seliaan PPD Serian dan Lubok Antu dilanjutkan sehingga kedua-dua daerah berkenaan merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di bawah 200.

Keputusan itu dibuat berdasarkan pemantauan berterusan bacaan IPU melalui Portal Rasmi Jabatan Alam Sekitar serta laporan Jabatan Meteorologi Malaysia.

Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan (KPM) dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan mengagihkan pelitup muka kepada murid, guru dan kakitangan di sekolah yang dikenal pasti terjejas teruk akibat jerebu.

JPN Sarawak turut mengingatkan pihak sekolah supaya menghentikan semua aktiviti luar bilik darjah yang membabitkan murid jika bacaan IPU melebihi 100, manakala sekolah di kawasan atau daerah dengan bacaan melebihi 200 hendaklah ditutup serta-merta.

“Pembukaan semula sekolah adalah tertakluk kepada bacaan IPU di bawah daripada 200,” menurut kenyataan itu.

Read Entire Article