Kejohanan boling antarabangsa medan uji bakat muda Sarawak

1 hour ago 4
ADVERTISE HERE

KUCHING, 12 September: Kejohanan Boling Tenpin Terbuka Antarabangsa Sarawak (SIOTBC) 2026 menjadi medan penting bagi pembangunan bakat muda apabila menghimpunkan ratusan peserta tempatan dan antarabangsa untuk menguji kemampuan dalam persaingan bertaraf tinggi.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, berkata penganjuran edisi kelapan kejohanan itu memberi pendedahan kepada atlet tempatan, khususnya bakat muda, untuk bersaing dengan peserta dari pelbagai negara.

“Pengiktirafan daripada Persekutuan Boling Antarabangsa (IBF), Persekutuan Boling Asia (ABF) dan Malaysian Tenpin Bowling Congress (MTBC) penting bagi memastikan prestasi peserta dinilai melalui sistem ranking yang diiktiraf.

“Ini sekali gus membolehkan pencapaian mereka dibandingkan dengan atlet lain di peringkat antarabangsa,” katanya ketika berucap pada majlis SIOTBC 2026 di sini, hari ini.

Beliau berkata, kejohanan itu turut menghimpunkan peserta dari Singapura, Thailand, Hong Kong, India, Chinese Taipei, Vietnam dan Brunei Darussalam bersama peserta Malaysia.

Katanya, penyertaan atlet dari pelbagai negara mencerminkan semangat sukan antarabangsa selain menyediakan ruang kepada peserta tempatan mengukur kemampuan mereka dalam persaingan lebih kompetitif.

Kejohanan berkenaan merekodkan 663 penyertaan membabitkan 121 peserta dalam Divisyen 3DU, 123 Divisyen Classified, 135 Divisyen Terbuka, 103 Divisyen Bawah 21 Tahun dan 69 Divisyen Challenge (Graded).

Dr Sim berkata, pengalaman menyertai kejohanan antarabangsa bukan sahaja memberi peluang kepada atlet meningkatkan prestasi, malah membuka ruang kepada peserta mengenali budaya, makanan dan bahasa Sarawak.

“Penganjuran kejohanan antarabangsa ini memberi peluang penting untuk memperkukuh pembangunan bakat muda selain memberi pendedahan kepada atlet tempatan untuk bersaing dengan peserta dari pelbagai negara,” katanya.

Read Entire Article