ADVERTISE HERE
KUCHING, 15 Sept: Sarawak menetapkan sasaran untuk menguatkuasakan penggunaan Pas Pemindahan Elektronik (ePASS) secara penuh di seluruh negeri menjelang Jun 2027, bagi menggantikan sistem pas pemindahan kayu balak berasaskan kertas kepada format digital yang boleh dijejak.
Sistem ePASS yang dibangunkan di bawah Sistem Pengesanan Balak dan Hasil Hutan Sarawak (REVLOG) itu dirasmikan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 dan Penghargaan Pesara 2026 Jabatan Hutan Sarawak di sini, di Sheraton Hotel, pada Selasa.
Pelaksanaan sistem digital baharu ini bakal mengubah alur kerja konvensional yang sebelum ini memerlukan penyerahan manual, pengesahan Jabatan Hutan Sarawak (FDS) dan pemeriksaan fizikal sebelum pas pra-cetak dikeluarkan.
Menerusi ePASS, permohonan dilakukan secara dalam talian sebelum data dimuat turun ke peranti di lapangan.
Selepas pemeriksaan fizikal diselesaikan, ePASS dikeluarkan serta-merta dan dicetak terus di lokasi menggunakan pencetak mudah alih (mobile printer).
Sistem ini turut disokong oleh ciri kebolehjejakan lokasi geografi (GPS) dan pengesahan kod QR bagi menjamin ketelusan rantaian bekalan kayu balak negeri serta memenuhi keperluan Sistem Jaminan Kelegalan Kayu Kayan (TLAS).
Pelaksanaannya akan dibuat secara berperingkat bermula Fasa 1 (Januari–Februari 2027) di Wilayah Kapit, Sibu dan Sarikei; Fasa 2 (Mac–April 2027) di Wilayah Bintulu, Miri dan Limbang; serta Fasa 3 (Mei–Jun 2027) di Wilayah Kuching dan Sri Aman sebelum dikuatkuasakan sepenuhnya pada Jun 2027.
Mengulas mengenai pemodenan teknologi perhutanan, Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II menegaskan warga jabatan perlu bersedia meningkatkan kemahiran seiring perubahan digital.
“Persekitaran kerja semakin berubah. Teknologi berkembang dengan pantas, harapan rakyat semakin tinggi dan cabaran yang dihadapi oleh penjawat awam juga semakin kompleks.
“Oleh itu, setiap pegawai perlu sentiasa bersedia meningkatkan pengetahuan dan kemahiran, menyesuaikan diri dengan perubahan serta berani meneroka pendekatan baharu dalam melaksanakan tugas,” katanya.
Beliau turut memuji Jabatan Hutan Sarawak yang aktif menjalin kerjasama strategik dengan institusi antarabangsa bagi memperkasa teknologi dan keupayaan tenaga kerja tempatan.
“Antaranya termasuk CTFS-ForestGEO yang melibatkan Smithsonian Institution, Harvard University dan Osaka University; Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS); Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM); serta Osaka Metropolitan University, Jepun.
“Kerjasama turut dijalin dengan Arbonaut Ltd., Finland; Sarawak Artificial Intelligence Centre (SAIC); Sarawak Energy Berhad; serta pelbagai rakan industri perhutanan,” dedah beliau.
Awang Tengah menggesa agar setiap kolaborasi antarabangsa tersebut memberi impak terus kepada pembangunan keupayaan pegawai tempatan.
“Saya berharap lebih ramai pegawai tempatan mendapat pendedahan dan peluang untuk membangunkan kepakaran melalui kerjasama ini supaya dalam jangka panjang, kita dapat membina kapasiti dan keupayaan sendiri,” ujarnya. – TVS

50 minutes ago
6








English (US) ·