Sarawak sasar tanam 50 juta pokok di bawah Program Penghijauan Malaysia 2.0

56 minutes ago 7
ADVERTISE HERE

KUCHING, 15 Sept : Sarawak menetapkan sasaran baharu untuk menanam 50 juta pokok di bawah Program Penghijauan Malaysia 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030 dalam usaha memperkukuh pemulihan landskap hutan dan memelihara alam sekitar negeri secara berterusan.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ketetapan sasaran baharu itu dibuat susulan kejayaan pelaksanaan fasa penanaman pokok sebelum ini yang melepasi penanda aras yang ditetapkan.

“Saya gembira melihat sasaran penanaman 35 juta pokok bagi tempoh 2021 hingga 2025 telah berjaya dilangkaui.

“Momentum ini perlu diteruskan melalui sasaran baharu penanaman 50 juta pokok di bawah Program Penghijauan Malaysia 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030,” katanya pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 dan Penghargaan Pesara 2026 Jabatan Hutan Sarawak di sini, pada Selasa.

Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II berkata, pengurusan hutan pada masa kini tidak lagi boleh dilihat semata-mata daripada sudut pengeluaran hasil kayu semata-mata.

“Hutan mempunyai peranan yang jauh lebih luas dalam kehidupan kita, sebagai khazanah biodiversiti, penyimpan karbon, kawasan tadahan air, sumber ekonomi masyarakat serta benteng semula jadi dalam menghadapi kesan perubahan iklim.

“Atas sebab itulah Kerajaan Sarawak sentiasa memberi penekanan kepada keseimbangan antara pembangunan ekonomi dengan pemeliharaan alam sekitar.

“Kita mahu pembangunan yang membawa kemakmuran kepada rakyat, tetapi dalam masa yang sama memastikan sumber semula jadi Sarawak terus terpelihara untuk generasi akan datang,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa pelbagai usaha pemeliharaan dan restorasi landskap hijau oleh Jabatan Hutan Sarawak bergerak selari dengan aspirasi pembangunan negeri.

“Usaha ini juga selari dengan aspirasi Post COVID-19 Development Strategy 2030 (PCDS 2030), khususnya dalam usaha membentuk ekonomi Sarawak yang lebih mampan, inklusif dan berdaya tahan,” jelasnya.-TVS

Read Entire Article