AI membantu manusia, bukan ambil alih peranan dan mengawal manusia

20 minutes ago 1
ADVERTISE HERE

SIBU, 26 Sept: Kecerdasan buatan (AI) seharusnya dimanfaatkan untuk membantu manusia menjadi lebih pintar, kreatif dan berdaya fikir, bukannya menyebabkan manusia terlalu bergantung kepada teknologi berkenaan.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, manusia perlu menyedari bahawa AI merupakan teknologi yang dicipta oleh manusia dan bukan sesuatu yang sepatutnya mengambil alih peranan manusia.

Menurutnya, perkembangan AI yang begitu pantas ketika ini menyebabkan manusia semakin bergantung kepada teknologi tersebut dalam mendapatkan maklumat dan melaksanakan pelbagai tugasan.

“AI membuatkan kita lebih pintar. Jangan lupa, kita adalah manusia, bukannya AI. Kadang-kadang AI boleh mereka-reka sesuatu dan tidak semestinya semua yang dikatakan AI itu benar 100 peratus,” katanya ketika berucap merasmikan TechUnity Exhibition & Forum 2026 dan Sibu Esports Championship 2026 di sini, hari ini.

Tambahnya, kebergantungan yang berlebihan terhadap AI boleh menyebabkan manusia hanya menerima maklumat dan arahan daripada teknologi tersebut tanpa membuat pertimbangan sendiri.

Katanya, keadaan itu perlu dielakkan kerana manusia ialah pencipta AI dan bukannya manusia yang sepatutnya berada di bawah kawalan AI.

“Kita tidak mahu terlalu bergantung kepada AI sehingga manusia menjadi seperti robot yang hanya menerima arahan, menerima maklumat dan melakukan apa yang diarahkan AI.Jangan sampai AI menjadi tuan kepada kita,” tegasnya.

Katanya lagi, AI kini bukan lagi sekadar gambaran teknologi masa depan atau sesuatu yang hanya wujud dalam filem sains fiksyen, malah sudah berada dalam kehidupan harian manusia.

Sehubungan itu, beliau berkata, golongan muda perlu diberikan ruang dan pendedahan untuk mempelajari teknologi serta menggunakannya dengan yakin, kreatif dan mempunyai tujuan yang jelas.

Dalam pada itu, TechUnity Exhibition & Forum 2026 berlangsung selama dua hari pada 26 dan 27 September dengan penyertaan 30 pempamer, empat sesi forum, pertandingan AI, aktiviti jaringan perniagaan serta pelbagai program lain.

Michael berkata, tema TechUnity Exhibition & Forum 2026, iaitu “Living Smarter with AI: Towards a Sustainable Digital Future”, disifatkannya amat bertepatan dengan perkembangan teknologi semasa.

Beliau turut melihat TechUnity sebagai lebih daripada sekadar sebuah pameran kerana acara berkenaan menyediakan ruang untuk masyarakat bertemu secara bersemuka, bertukar idea, membina hubungan dan meneroka peluang baharu.

Katanya, walaupun masyarakat kini hidup dalam dunia yang saling berhubung melalui internet, media sosial dan pelbagai aplikasi, hubungan secara bersemuka tetap penting.

Beliau turut menggalakkan orang ramai memanfaatkan acara itu untuk menambah pengetahuan, membina hubungan baharu dan meneroka idea serta peluang bagi menghadapi dunia yang semakin dipacu teknologi dan digital supaya tidak ketinggalan dalam persaingan. -TVS

Read Entire Article