Aichi-Nagoya 2026: Ameeshenraj-Rachel raih gangsa beregu campuran skuasy

23 hours ago 2
ADVERTISE HERE

NAGOYA, 26 Sept: Hasrat pemain skuasy negara, C.Ameeshenraj-Rachel Arnold untuk melangkah lebih jauh dalam saingan beregu campuran Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 tidak kesampaian apabila tewas kepada wakil Hong Kong 2-0 di pusingan separuh akhir hari ini.

Keputusan tersebut menyaksikan gandingan negara itu terpaksa berpuas hati menghadiahkan pingat gangsa buat Malaysia, berkongsi dengan gandingan India yang tewas dalam satu lagi aksi separuh akhir yang berlangsung di Nagoya Kinjo Futo Arena.

Terdahulu, Ameeshenraj-Rachel tewas tipis 10-11 pada set pertama sebelum wakil Hong Kong, Lai Cheuk Nam-Tse Yee Lam memutlakkan kemenangan menerusi 11-7.

“Kami tidak bermain pada tahap terbaik hari ini. Selepas tewas tipis di set pertama, kami cuba bangkit namun taktikal yang digunakan kurang menjadi.

“Walaupun agak kecewa kerana menyasarkan ke perlawanan akhir, kami tetap bersyukur dapat menyumbang pingat gangsa buat negara pada penampilan ini,” kata Rachel ketika ditemui selepas perlawanan.

Sementara itu, Ameeshenraj mengakui kecewa terhadap beberapa keputusan pengadil namun menegaskan mereka perlu bertanggungjawab terhadap persembahan sendiri.

“Memang mengecewakan apabila mata sangat rapat, tetapi kita tidak boleh sentiasa menyalahkan pengadil. Kami sepatutnya mengawal emosi dengan lebih baik. Apa pun, menyumbang pingat buat negara terutamanya pada penampilan sulung saya di Sukan Asia tetap memberi makna yang besar,” katanya.

Sandaran Malaysia dalam sukan skuasy membabitkan S.Sivasangari dalam acara perseorangan wanita dan Ng Eain Yow perseorangan lelaki masing-masing dengan status juara bertahan pada edisi terdahulu akan meneruskan perjuangan untuk ke final selepas ini. -TVS

Read Entire Article