Haziq mahu pecah rekod Azeem, buru status pelari pecut nombor satu negara

1 hour ago 2
ADVERTISE HERE

NAGOYA, 27 Sept: Pelari pecut negara, Muhammad Haziq Mohamad Akhir mendambakan untuk muncul sebagai pelari nombor satu Malaysia dengan menjadikan penampilan sulung pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 sebagai pengalaman berharga bagi mengukur kemampuan dalam persaingan bertaraf lebih tinggi.

Atlet berusia 23 tahun itu berkata beliau mahu terus mempertingkatkan prestasi dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang dengan sasaran untuk mencabar gelaran pelari terbaik negara dalam acara 100 meter (m) dan 200m.

“Impian saya nak jadikan nama saya nombor satu (di Malaysia). Tak kisahlah acara 100m, 200m, tapi saya akan cubalah.

“Insya-Allah, satu hari nanti (saya mahu pecahkan rekod Muhammad Azeem Mohd Fahmi),” katanya ketika ditemui selepas aksi separuh akhir 200m lelaki.

Pada penampilan sulungnya di Sukan Asia, Haziq mengakui pengalaman bersaing dengan pelari Thailand, Puripol Boonson, yang juga pemegang rekod Sukan Asia, memberikan banyak pengajaran kepadanya.

“Saya nampak dia memang sangat tenang dan disiplin. Saya rasa kena teruskan latihan dan disiplin. Saya lihat memang disiplinlah caranya (kunci kejayaan),” katanya.

Mengakui berasa gementar sebelum berdepan Puripol, Haziq bagaimanapun enggan membiarkan perasaan itu menjejaskan keyakinannya.

“Saya memang takut, tetapi kita tidak boleh tunjuk. Walaupun nama saya tidak besar, tetapi saya tetap akan berjuang untuk sampai ke separuh akhir,” katanya.

Haziq turut berada dalam senarai simpanan acara 4x100m lelaki negara yang akan bersaing hari ini, dan bersedia sekiranya dipilih untuk membantu kuartet negara memburu rekod kebangsaan. – TVS

Read Entire Article