Aichi-Nagoya 2026: Danish melangkah ke final 200m

16 hours ago 7
ADVERTISE HERE

NAGOYA, 26 Sept: Pelari muda negara, Danish Iftikhar Muhammad Roslee berjaya melangkah ke final acara 200 meter (m) lelaki Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 hari ini, sekali gus menguji kemampuannya berdepan kelompok pelari terbaik Asia.

Danish, 19, menamatkan saingan separuh akhir saringan satu di tempat keempat dengan catatan 20.76 saat (s) di Stadium Nagoya City Mizuho Park Athletic untuk mara menerusi dua catatan terpantas berikutnya.

Kejayaan itu menyaksikan Danish menempah tiket ke final yang dijadualkan berlangsung esok, selepas bersaing sengit dalam saringan yang dimenangi pelari Jepun, Soshi Mizukubo dengan catatan 20.37s.

Wu Yen Ming Ke dari Taiwan menduduki tempat kedua dengan 20.71s, manakala pelari Hong Kong, Yip King Wai ketiga dengan 20.74s.

Danish berkata penampilan sulung pada pentas Sukan Asia bersama skuad senior memberikan pengalaman baharu dan positif, selain peluang untuk mengukur kemampuan berdepan pelari terbaik benua.

“Alhamdulillah, ia satu perkara yang baik dan positif untuk saya. Ini adalah penampilan sulung saya dalam Sukan Asia bersama pasukan senior dan ia pengalaman baharu serta pencapaian besar untuk saya,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pelari negara, Muhammad Haziq Mohamad Akhir, terkandas pada separuh akhir selepas menamatkan saingan saringan tiga pada kedudukan kelapan dengan catatan 21.50s.

Haziq yang berdepan juara 100m lelaki, Puripol Boonson dari Thailand gagal menyaingi pelari-pelari lain dalam saringan berkenaan.

Puripol meneruskan kecemerlangannya di Nagoya apabila mencipta rekod baharu Sukan Asia dengan catatan 20.10s, mengatasi rekod lama 20.14s milik Femi Ogunde dari Qatar, yang dilakukan pada edisi Incheon 2014.

Pelari India, Animesh Kujur menduduki tempat kedua dengan catatan 20.81s, manakala Ali Haji dari Bahrain ketiga dengan 21.91s.

Dalam acara 110m lari berpagar, Mohamad Armin Zahryl Abd Latif turut terkandas pada pusingan pertama selepas menamatkan saingan saringan tiga di tempat keempat dengan catatan 13.92s.

Sementara itu, dalam acara lontar peluru, Jonah Chang menamatkan saingan final pada kedudukan ketujuh dengan catatan 18.89 meter (m).

Pingat emas dimenangi Mohamad Reza Tayebi dari Iran menerusi catatan 20.81m yang juga rekod baharu Asia, manakala wakil India, Tajinderpal Singh Toor, meraih perak dengan 20.64m dan Mohammed Tolu dari Arab Saudi memperoleh gangsa menerusi 20.48m. -TVS

Read Entire Article