ADVERTISE HERE
KUCHING, 26 Sept: Penyanyi terkenal tanah air, Marsha Milan Londoh dan Hazama masing-masing meraih Anugerah Industri Muzik (AIM) pertama selepas lebih dua dekad berkecimpung dalam industri muzik menerusi AIM25.
Marsha yang memenangi Anugerah Lagu Etnik Terbaik menerusi lagu Nalan Nalan berkata, peluang menghasilkan karya berteraskan identiti muzik sendiri sejak beberapa tahun kebelakangan ini menjadi antara pengalaman paling bermakna sepanjang perjalanan seninya.
“Saya sangat berterima kasih kerana ini adalah antara anugerah yang saya nantikan sejak 21 tahun lalu. Baru-baru ini sahaja, beberapa tahun yang lalu, saya dapat betul-betul berkarya dengan muzik saya.
“Saya juga berterima kasih kepada Amir Jahari kerana telah menghasilkan lagu yang sangat indah dan sangat menginspirasi. Anugerah ini sebenarnya adalah untuk dia,” katanya kepada pemberita pada sidang media AIM25 di sini, hari ini.
Marsha, yang popular menerusi lagu Pelangi Pasti, berkata beliau tidak pernah berhenti mempercayai dirinya sendiri meskipun berdepan pelbagai cabaran sepanjang perjalanan seni.
Beliau turut menyifatkan karya yang mengangkat identiti dan DNA Borneo, termasuk album Misompuru, sebagai antara sumber semangat untuk terus berkarya.
Sementara itu, Hazama menyifatkan kemenangan dalam kategori Runut Bunyi Terbaik menerusi AIM25 sebagai pencapaian istimewa selepas 20 tahun berkecimpung dalam industri muzik.
“Alhamdulillah, ini merupakan anugerah pertama saya dalam anugerah ini. Terima kasih kepada Farouk Roman dan Zel Haduan. Alhamdulillah, terima kasih kepada Sony Music Entertainment Malaysia yang menjayakan projek ini.
“Saya menumpang rezeki Farouk sebenarnya. Selama ini saya antara yang paling banyak tercalon sejak 2012, jadi pada 2026 apabila saya berkolaborasi dengan Farouk Roman, Alhamdulillah ini merupakan anugerah pertama saya dalam anugerah ini,” katanya.
Hazama meraih anugerah berkenaan menerusi lagu Aku Bukan Narsisis, runut bunyi filem Dia Bukan Syurga.
Beliau berkata, kegagalan meraih kemenangan sebelum ini tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus berkarya, malah menganggap kemenangan sebagai bonus dalam perjalanan sebagai penggiat seni.
Untuk rekod, Marsha merupakan bekas peserta Akademi Fantasia musim ketiga, manakala Hazama menyertai program realiti itu pada musim kesembilan. – TVS

23 minutes ago
5







English (US) ·