ADVERTISE HERE
SINGAPURA, 24 Sept: Pratt & Whitney Canada memeterai perjanjian empat tahun dengan AirBorneo Airways bagi menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) enjin PW127M yang digunakan pesawat ATR 72-500 syarikat penerbangan itu sehingga 2030.
Perjanjian berkenaan merangkumi penyelenggaraan menyeluruh enjin yang digunakan AirBorneo untuk operasi perkhidmatan udara luar bandar, khususnya menghubungkan komuniti pedalaman di Sarawak dan Sabah.
Naib Presiden Khidmat Pelanggan Pratt & Whitney Canada, Anthony Rossi, berkata penyelesaian penyelenggaraan itu dibangunkan bersama AirBorneo bagi membantu mengurus kos enjin, selain memastikan tahap ketersediaan operasi yang tinggi.
“Kami bekerjasama rapat dengan AirBorneo untuk membangunkan penyelesaian penyelenggaraan yang mengurus kos enjin dan menyokong ketersediaan operasi yang tinggi bagi penerbangan kritikal ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata perjanjian itu turut mengukuhkan komitmen Pratt & Whitney Canada dalam memperluas perkhidmatan MRO serta memenuhi keperluan pelanggan yang semakin berkembang.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo, Megat Ardian Aminuddin, berkata kerjasama berterusan dengan Pratt & Whitney Canada memberi keyakinan kepada syarikat terhadap kualiti dan kebolehpercayaan produk serta perkhidmatan yang disediakan.
“Dengan sokongan ini yang berpangkalan di Singapura, penyelenggaraan dan pembaikan enjin kami lebih dekat dengan kawasan operasi, sekali gus membolehkan pesawat kembali beroperasi dengan lebih pantas,” katanya.
Beliau berkata sokongan berkenaan memberikan kepastian operasi kepada AirBorneo untuk meneruskan perkhidmatan penerbangan di laluan intra-Borneo, terutama bagi komuniti pedalaman yang bergantung kepada pengangkutan udara.
Sebahagian besar kerja penyelenggaraan enjin AirBorneo akan dilaksanakan di fasiliti Pratt & Whitney Canada di Singapura yang menjadi hab sokongan pelanggan syarikat itu bagi rantau Asia Pasifik.
Fasiliti berkenaan baru-baru ini diperluas menerusi pelaburan bagi meningkatkan keupayaan MRO enjin turboprop, sekali gus memperkukuh sokongan kepada pengendali pesawat di rantau ini.
Enjin PW127M adalah sebahagian daripada keluarga enjin PW100 Pratt & Whitney Canada yang sudah digunakan dalam operasi pesawat turboprop serantau selama lebih 40 tahun.
Siri enjin berkenaan telah merekodkan lebih 200 juta jam penerbangan dan digunakan bagi menggerakkan pesawat yang menyediakan perkhidmatan kepada komuniti di seluruh dunia. – TVS

55 minutes ago
6








English (US) ·