ADVERTISE HERE
LIMBANG 18 Sept: Pesta Limbang 2026 yang membuka tirai pada Khamis lalu dijangka menarik lebih 15,000 pengunjung dari Borneo sepanjang empat hari penganjurannya yang berakhir Ahad ini.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, berkata pesta berkenaan bukan sahaja dinanti-nantikan masyarakat di utara Sarawak, malah berpotensi mempromosikan Limbang sebagai lokasi utama penganjuran sukan air popular seperti regata dan perlumbaan bot laju.
Katanya, sambutan terhadap Pesta Limbang 2026 amat menggalakkan dengan ribuan pengunjung, termasuk dari Brunei, Lawas dan kawasan sekitar, membanjiri Dataran Tebingan Limbang.
“Saya percaya sepanjang empat hari penganjuran Pesta Limbang bermula Khamis hingga Ahad ini, jumlah pengunjung boleh mencecah sehingga 15,000 orang.
“Ini menunjukkan pesta ini mendapat sambutan sangat baik dan memberi kesan langsung kepada ekonomi Limbang, khususnya sektor makanan, penginapan serta pengangkutan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyaksikan Perlumbaan Bot Laju dan Penyampaian Hadiah sempena Pesta Limbang di Dataran Tebingan Limbang, hari ini.
Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota berkata, penganjuran pesta itu membabitkan kerjasama pelbagai pihak termasuk Pejabat Residen, Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan, badan bukan kerajaan (NGO) serta Kementerian Pelancongan Sarawak.
Katanya, Pesta Limbang yang kali terakhir dianjurkan pada 2017 akan diteruskan secara dwitahunan sebagai antara acara tahunan yang mampu menarik pelancong ke kawasan berkenaan.
Beliau berkata, ketiadaan pesta itu sejak sembilan tahun lalu disebabkan pandemik COVID-19 selain memberi laluan kepada pelaksanaan projek pembangunan Tebingan Sungai Limbang yang kini siap sepenuhnya.
“Pesta Limbang ini adalah inisiatif penting dalam mempromosikan Limbang sebagai pintu masuk utama pelancongan di utara Sarawak.
“Antara acara yang dianjurkan termasuk pertandingan bot laju, perlumbaan perahu bidar dan perahu naga, malam kebudayaan, gerai jualan serta cabutan bertuah,” katanya.

1 hour ago
5








English (US) ·