Kebebasan berkarya bukan lesen hina institusi Raja, Rukun Negara

1 hour ago 5
ADVERTISE HERE

KUCHING, Sept 18: Kebebasan berkarya dan bersuara tidak seharusnya dijadikan alasan untuk memperlekeh institusi Raja, negara Malaysia atau Rukun Negara.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata tindakan sedemikian adalah tidak bertanggungjawab, keterlaluan dan sama sekali tidak boleh diterima.

“Tidak ada ruang untuk mana-mana pihak mempermainkan perkara yang menyentuh institusi Raja, kedaulatan negara serta asas-asas yang membentuk kehidupan dalam negara kita.

“Malaysia ialah sebuah negara yang mengamalkan Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan, dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Terdahulu, sebuah video pementasan yang dimuat naik ke media sosial dua hari lalu didakwa mengandungi unsur penghinaan terhadap institusi Raja, negara Malaysia serta Rukun Negara.

Sehubungan itu, Aaron meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjalankan siasatan segera dan menyeluruh.

Menurutnya, siasatan perlu mempertimbangkan semua peruntukan undang-undang yang berkaitan, termasuk Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Hasutan 1948.

“Tindakan undang-undang yang sewajarnya dan setimpal perlu diambil supaya menjadi peringatan bahawa kebebasan yang dinikmati setiap rakyat datang bersama tanggungjawab untuk menghormati undang-undang, institusi negara dan keharmonian masyarakat,” ujarnya lagi.

Beliau turut menegaskan bahawa Rukun Negara bukan sekadar lafaz yang dibaca dalam majlis rasmi.

“Rukun Negara ialah ideologi dan falsafah kebangsaan serta panduan dalam pembinaan sebuah negara yang bersatu padu,” katanya.

Read Entire Article