Bernice Hwang, Anson Yeo ungguli kategori gross Golf 37th Sarawak Classic 2026

6 hours ago 5
ADVERTISE HERE

KUCHING, 27 Sept: Bernice Hwang Ee Xuan dan Anson Yeo Boon Xiang muncul juara keseluruhan kategori perempuan dan lelaki gross pada Kejohanan Golf 37th Sarawak Classic 2026 yang berlangsung di Kelab Golf Sarawak Kuching pada 25 hingga 27 September 2026.

Bernice, 15, mewakili Kelab Golf Bintulu menepati sasaran untuk bergelar juara dan kemenangan itu disifatkan sebagai pencapaian bermakna buat pemain muda berkenaan yang bertekad untuk memberikan persembahan terbaik bagi merebut kejuaraan.

“Saya sebenarnya sangat teruja kerana menyasarkan kejuaraan tahun ini. Tahun lalu, saya menduduki tempat kedua dengan perbezaan satu pukulan. Jadi, saya mahu bermain sebaik mungkin dan bergelar juara,” katanya ketika ditemui media pada Kejohanan Golf 37th Sarawak Classic 2026 di Kuching pada Ahad.

Sementara itu, Anson Yeo Boon Xiang, yang mewakili Kelab Golf Kuching, menyifatkan kejayaan tersebut sebagai persiapan penting sebelum menyertai kejohanan golf amatur berprestij di New Zealand pada 25 Oktober ini.

Beliau berkata, kejohanan berkenaan merupakan antara pertandingan amatur terbesar di dunia dan menjadi tumpuan utamanya dalam persediaan menghadapi baki musim ini.

“Saya akan ke New Zealand pada 25 Oktober untuk menyertai kejohanan Asia Pasifik, yang merupakan antara kejohanan amatur terbesar di dunia. Buat masa ini, saya perlu berehat seketika bagi membuat persiapan rapi untuk kejohanan seterusnya,” katanya.

Lebih 280 pemain golf yang mewakili 28 kelab, menyertai kejohanan tersebut sekali gus menyaksikan saingan kompetitif selama tiga hari dalam suasana penuh semangat kesukanan, persahabatan dan silaturahim dalam kalangan komuniti golf.

Kejohanan 37th Sarawak Classic 2026 disempurnakan oleh mantan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam, serta isteri, Datin Patinggi Puan Sri Datuk Wira Lorna Enan Muloon Chan sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh pembangunan sukan golf di Sarawak.-TVS

Read Entire Article