ADVERTISE HERE
KUCHING, 13 Sept: Program Bomba Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Stakan dilihat mampu meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai aspek keselamatan kebakaran dan tindakan awal ketika berdepan situasi kecemasan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim berkata, pendedahan mengenai ilmu asas keselamatan penting kerana kemahiran berkenaan boleh dipraktikkan dalam kehidupan seharian serta dikongsikan bersama keluarga dan komuniti.
“Tugas sebagai anggota bomba bukan mudah kerana memerlukan ketahanan fizikal dan mental selain keberanian yang tinggi, namun ilmu berkaitan keselamatan kebakaran wajar diketahui oleh semua lapisan masyarakat.
“Kebanyakan kejadian kebakaran boleh berpunca daripada perkara yang sering digunakan setiap hari, terutama peralatan dapur dan elektrik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Program Bomba Komuniti DUN Stakan yang berlangsung di Dewan Perpaduan Stakan, Taman Samarindah, petang semalam.
Sehubungan itu, beliau menegaskan kesedaran terhadap langkah pencegahan serta tindakan awal amat penting bagi mengurangkan risiko kebakaran daripada merebak dan menjadi lebih serius.
Hamzah turut mencadangkan setiap Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta persatuan perumahan di kawasan DUN Stakan menyediakan sekurang-kurangnya alat pemadam api di kawasan penempatan masing-masing sebagai tindakan awal sebelum ketibaan pasukan bomba.
“Kita merakamkan penghargaan kepada pasukan bomba, urus setia, peserta dan komuniti setempat atas kerjasama menjayakan program ini, kita berharap ilmu serta pengalaman diperoleh dapat menjadikan kawasan Stakan lebih bersedia dan selamat daripada risiko kebakaran,” ujarnya. -TVS

1 hour ago
3








English (US) ·