ADVERTISE HERE
BAU, 13 Sept: Sebanyak 150 kenderaan dan 160 individu diperiksa dalam Op Bersepadu Pencegahan Jenayah yang dilaksanakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau di sekitar Pekan Tondong, Redeems Singai, kawasan Singai serta Jalan Bau/Kuching, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A. Rahman berkata, operasi membabitkan kekuatan 23 anggota dengan memberi tumpuan kepada rondaan, pemeriksaan kenderaan dan pencegahan jenayah, khususnya kes kecurian kenderaan serta jenayah jalanan.
“Dalam operasi sama, empat lelaki turut menjalani ujian saringan air kencing dan seorang daripadanya ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Sebanyak 12 saman trafik turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan yang dikesan sepanjang operasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, antara kesalahan trafik yang dikenal pasti termasuk pengubahsuaian ekzos, lampu brek tidak berfungsi, nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan, tidak memakai tali pinggang keledar serta kesalahan berkaitan lesen memandu.
Katanya, rondaan dan pemantauan turut dilaksanakan di kawasan Bau, Singai, Tondong dan Musi serta laluan Pan Borneo Bau/Kuching bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.
“Operasi berjalan lancar dan terkawal tanpa sebarang kejadian tidak diingini,” ujarnya.
Beliau berkata, IPD Bau akan terus mempertingkatkan operasi pencegahan jenayah dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa, selain menggesa masyarakat menyalurkan maklumat sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan.-TVS

56 minutes ago
4








English (US) ·