PBT terus diperkasa dalam usaha tangani isu kesihatan persekitaran – Aiman Athirah

1 hour ago 5
ADVERTISE HERE

KEPALA BATAS, 13 Sept: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan terus memperkasakan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam usaha menangani isu kesihatan persekitaran secara lebih menyeluruh.

Timbalan Menterinya, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, sebanyak RM6.427 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan Kempen Kesihatan Persekitaran di 635 lokaliti PBT di seluruh negara sejak 2021 hingga tahun ini.

Menurutnya, peruntukan itu bagi membolehkan PBT melaksanakan lebih banyak program berimpak tinggi secara terus kepada masyarakat.

“Pada masa sama, PBT harus terus diperkasa sebagai benteng utama serta peneraju pembangunan bandar yang mampan, inklusif dan berdaya tahan.

“Harus kita insafi bersama bahawa kayu ukur kejayaan sesebuah bandar tidak wajar dinilai dari sudut kemegahan pembangunan fizikal semata-mata, sebaliknya menerusi tahap kebersihan persekitaran, darjah kesihatan awam, kesejahteraan komuniti dan kualiti hidup rakyatnya,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia Peringkat Kebangsaan di sini, hari ini.

Pada acara itu, sembilan PBT menerima Anugerah Penarafan Bintang Program Kesihatan Persekitaran PBT Cemerlang termasuklah Dewan Bandaraya Kuching Utara, Majlis Bandaraya Seremban, Majlis Perbandaran Batu Pahat dan Majlis Perbandaran Pengerang.

Turut menerima anugerah ialah Majlis Perbandaran Kota Samarahan, Perbadanan Labuan, Majlis Daerah Yan, Majlis Daerah Pendang dan Majlis Daerah Machang.

Sementara itu, Aiman Athirah berkata, pendekatan bersepadu juga diperlukan bagi menangani isu seperti kebersihan bandar, penyakit bawaan vektor, premis makanan, pasar awam, tandas awam, haiwan terbiar dan pencemaran alam sekitar.

Katanya, KPKT telah meningkatkan peruntukan kewangan bagi pelaksanaan Kempen Kesihatan Persekitaran daripada RM860,000 pada tahun 2025 kepada RM1.06 juta pada tahun ini menerusi peruntukan Jabatan Kerajaan Tempatan dan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS).

Ujarnya, skop Kempen Kesihatan Persekitaran KPKT diperluas daripada enam kepada lapan subprogram dengan penambahan Kempen Kawalan Infestasi Lalat dan Kempen Pasar Malam Bersih.

Kempen sedia ada, katanya, termasuklah Kempen Cegah Wabak Denggi, Kempen Membasmi Infestasi Tikus, Kempen Premis Makanan Bersih, Kempen Pasar Awam Bersih, Kempen Tandas Awam PBT Bersih BMW (Bersih, Menawan dan Wangi) serta Kempen Pengurusan Haiwan Terbiar. – TVS

Read Entire Article