ADVERTISE HERE
MELAKA, 13 Sep: Kuching City FC tidak mempunyai banyak masa untuk berehat selepas mencatat kemenangan penting ke atas Melaka, apabila pasukan itu perlu segera mengalihkan fokus kepada tugasan di pentas Liga Juara-Juara AFC Dua (ACL2).
Ketua jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak berkata, pemain akan diberikan tempoh pemulihan sepenuhnya sebelum pasukan meneruskan perjalanan ke Kemboja bagi menghadapi aksi ACL.
“Kami ada perlawanan di Kemboja dalam ACL, jadi memang tiada masa untuk berehat. Tetapi sudah tentu, saya akan memberikan mereka pemulihan sepenuhnya bermula Ahad untuk memastikan mereka mendapat rawatan dan urutan yang baik,” kata Aidil selepas aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat pada Sabtu.
Menurut Aidil, langkah itu penting bagi memastikan pemain kembali segar dari segi fizikal dan mental sebelum menghadapi tugasan seterusnya.
Beliau mengakui cabaran menguruskan pemulihan pemain bukan mudah, terutama dengan kemudahan yang terhad ketika pasukan beraksi di tempat lawan.
“Kami bukan pasukan besar dan kami tidak mempunyai kemudahan yang besar. Kami menginap di hotel dan kemudahan seperti kolam renang serta jakuzi juga terhad, jadi kami perlu menguruskan apa sahaja yang kami ada.”
Bagaimanapun, Aidil memuji sikap profesional pemain yang sentiasa mengambil berat mengenai tahap kecergasan masing-masing.
“Pemain-pemain ini profesional. Mereka tahu keadaan tubuh badan mereka dengan baik. Apabila mereka memerlukan urutan, mereka akan menghubungi tukang urut untuk datang memberikan rawatan.”
Kuching City sebelum itu mencatat kemenangan ke atas Melaka 2-1 di tempat lawan meskipun terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Yuki Tanigawa dilayangkan kad merah.
Wakil tunggal Sarawak itu dijadual akan bertemu pasukan di kedudukan keempat terbaik liga Kemboja, Phnom Penh Crown FC pada 17 September ini bagi aksi kumpulan H.

1 hour ago
4








English (US) ·