ADVERTISE HERE
LIMBANG, 13 Sept: Perasaan sebak, terharu dan gembira menyelubungi pertemuan lebih 500 anggota keluarga besar Awang Salleh dan Dayang Damit dari Sarawak, Brunei dan Labuan yang tidak bertemu sejak lebih 60 tahun lalu pada Majlis Perhimpunan Jejak Kasih Keluarga, hari ini.
Pengerusi penganjur, Abdul Hamid Kamis berkata, idea penganjuran pertemuan itu tercetus daripada hasrat untuk menghimpunkan ahli keluarga daripada generasi pertama hingga keenam yang tidak pernah bersua muka.
Menurutnya, keluarga dari Brunei mengambil masa dua bulan untuk menjayakan program julung kali bertemakan ‘Satu Rumpun Satu Hati, Yang Jauh Didekati’.
“Tema ini mencerminkan hasrat bersama untuk mengukuhkan ikatan kekeluargaan, mendekatkan yang jauh serta memastikan generasi muda mengenali susur galur keluarga mereka.
“Perasaan sebak, terharu dan gembira melihat kehadiran pelbagai generasi, daripada kanak-kanak hingga warga emas, menjadikan majlis ini lebih bermakna,” katanya ketika ditemui pada Majlis Jejak Kasih Keluarga Brunei, Sarawak dan Labuan di Dewan Bunga Raya, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Bersama, Tamil Radin dan Penasihat Program, Kamarudin Ali.
Abdul Hamid berkata, satu sistem pangkalan data keluarga turut diwujudkan bagi mengenal pasti susur galur keturunan Allahyarham Awang Sulaiman dan Allahyarham Dayang Damit.
Berdasarkan rekod keluarga, Awang Sulaiman dan Dayang Damit merupakan dua beradik yang masing-masing mempunyai tiga anak, dengan sebahagian besar keturunan mereka menetap di Brunei dan Limbang.
Selepas mereka meninggal dunia, hubungan antara keturunan daripada generasi pertama hingga keenam semakin terpisah dan tidak lagi berkesempatan untuk bertemu.
Justeru, usaha menghimpunkan semula keluarga besar itu direalisasikan menerusi penganjuran program berkenaan.
Majlis turut diserikan dengan bacaan tahlil, sesi suai kenal, doa selamat, cabutan bertuah dan pelbagai aktiviti lain.-TVS

1 hour ago
4








English (US) ·