ADVERTISE HERE
BANGKOK, 13 Sept: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, meneruskan misi memperkukuh kedudukan Sarawak dalam agenda tenaga global menerusi lawatan rasmi ke Thailand bagi menghadiri Persidangan dan Pameran GASTECH 2026.
Lawatan berkenaan atas jemputan Kementerian Tenaga Thailand, sekali gus membuka ruang kepada Sarawak untuk memperluas jaringan strategik serta meneroka peluang kerjasama dalam sektor tenaga.
Dalam lawatan itu, Abang Johari dijadual mengadakan pertemuan dengan pengasas dan ketua pegawai eksekutif kumpulan global, Indorama Ventures Public Company Limited.
Ia merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan dengan pemain industri serta membuka peluang kerjasama dan pelaburan baharu.
Beliau kemudiannya akan menghadiri perbincangan meja bulat tertutup kementerian yang menghimpunkan pemimpin dan tokoh industri bagi membincangkan masa depan sistem tenaga.
Perbincangan berkenaan dijangka memberi tumpuan kepada pembentukan sistem tenaga yang lebih berdaya tahan, selain mempercepatkan elektrifikasi serta pembangunan rendah karbon.
Antara agenda yang akan disentuh, peranan kecerdasan buatan (AI) dan mobilisasi modal dalam membangunkan sistem tenaga masa depan, termasuk laluan tenaga baharu yang mampu menyokong pertumbuhan ekonomi secara mampan.
Kemuncak agenda lawatan ialah penyertaan Abang Johari dalam sesi Energy Talk: Growth, Abundance and the Courage to Decarbonise, menerusi sesi khas fireside chat yang akan memberi tumpuan kepada pertumbuhan, kelimpahan tenaga dan keberanian melaksanakan agenda penyahkarbonan.
Penyertaan Sarawak di GASTECH 2026 dilihat penting dalam memperkukuh jaringan negeri di peringkat antarabangsa, selain memperlihatkan kesediaannya memainkan peranan lebih besar dalam membentuk landskap tenaga serantau dan global.
GASTECH 2026 di Bangkok dari 14 hingga 17 September ini dijangka menghimpunkan lebih 50,000 peserta dari 150 negara, termasuk pemimpin kerajaan dan pemain industri tenaga dari seluruh dunia. – TVS

1 hour ago
3








English (US) ·