ADVERTISE HERE
SEREMBAN, 13 Sept: Suasana pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Senawang, Forest Heights di sini apabila jenazah juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30, selamat disemadikan kira-kira jam 6 petang tadi.
Jenazah Allahyarham dibawa ke tanah perkuburan itu selepas selesai urusan solat jenazah di Masjid Bandar Baru Senawang.
Solat jenazah Allahyarham diimamkan bapanya, Bee Sham Ahmad, manakala Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, turut hadir bagi memberikan penghormatan terakhir.
Terdahulu, jenazah Allahyarham tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pada 2.28 petang selepas dibawa pulang dari Lapangan Terbang Miri, Sarawak menggunakan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH2575 pada 12.10 tengah hari.
Allahyarham merupakan antara lima mangsa yang terkorban dalam nahas helikopter yang membawa pasukan Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), selepas helikopter berkenaan terhempas dan terbakar berhampiran Lapangan Terbang Long Lellang (STOLport), Selasa lepas.
Nahas itu turut mengorbankan empat petugas kesihatan iaitu Dr Ainul Baraah Kamaruddin, pembantu pegawai perubatan Alexson Adit Henry serta dua jururawat, Jessie Paya Jok dan Debra Moset.
Jenazah Dr Ainul Baraah Kamaruddin sebelum ini diterbangkan ke Kota Bharu, Kelantan menggunakan pesawat khas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Seri Kedeper, Pengkalan Chepa selepas Zohor hari ini.
Sementara itu, mendiang Alexson Adit Henry dan mendiang Jessie Paya Jok dipindahkan dari Hospital Miri ke rumah masing-masing hari ini, manakala urusan pengebumian kedua-duanya dijadualkan esok.
Mendiang Alexson akan dikebumikan di Anglican Cemetery Lambir, Miri, manakala mendiang Jessie di BEM Cemetery Lambir, Miri, Sarawak.
Mendiang Debra Moset pula diterbangkan ke Kuching untuk disemadikan di Kampung Semadang, Padawan esok. — TVS

1 hour ago
6








English (US) ·