ADVERTISE HERE
KOTA SAMARAHAN, 13 September: Majlis Konvokesyen PolyCC Zon Sarawak Tahun 2026 menjadi detik istimewa buat Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Hajah Rubiah Wang apabila anaknya, Mohamad Azeem Mohamad Salleh berjaya menamatkan pengajian dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Mohamad Azeem, 22, berjaya menamatkan pengajian dalam bidang Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Pembuatan) di Politeknik Kuching Sarawak dan bakal melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah dalam bidang sama di Universiti Kuala Lumpur (UniKL).
Rubiah turut menyifatkan kejayaan anaknya itu sebagai bukti bahawa TVET mampu menjadi pilihan pendidikan yang baik untuk golongan muda, khususnya mereka yang mempunyai minat dan komitmen terhadap bidang kemahiran.
“Bagi saya kejayaan beliau (Muhammad Azeem Salleh) dalam bidang TVET, latihan kemahiran ini amat penting sekali kerana yang pertama dia telah menunjukan minat dan komitmen terhadap TVET di peringkat awal lagi dan sebab itu TVET ini menjadi satu pilihan beliau yang mana dibawah bidang ini, beliau dapat menunjukkan prestasi yang baik,” katanya.
Rubiah berkata demikian selepas menghadiri Majlis Konvokesyen PolyCC Zon Sarawak 2026 di DeTAR PUTRA, UNIMAS pada Ahad.
Menurut Rubiah lagi, laluan TVET kini semakin berkembang dan tidak lagi terhad kepada kemahiran asas, sebaliknya merangkumi bidang berasaskan sains dan teknologi yang mempunyai permintaan tinggi dalam sektor industri.
Ujarnya, perkembangan teknologi baharu serta kemunculan bidang ekonomi baharu di Sarawak meningkatkan keperluan terhadap tenaga kerja tempatan yang mempunyai kemahiran khusus dan relevan dengan kehendak industri.
Katanya, perubahan positif terhadap persepsi masyarakat, termasuk golongan belia di luar bandar, turut menyumbang kepada peningkatan minat terhadap pendidikan berasaskan kemahiran.
Dalam pada itu, Rubiah berharap kejayaan graduan TVET, termasuk anaknya, dapat menjadi inspirasi kepada lebih ramai belia untuk memilih laluan pendidikan tersebut sebagai persediaan membina kerjaya berkemahiran tinggi-TVS.

1 hour ago
3








English (US) ·