Sarawak perlukan belia sebagai pemikir, pencipta dan pemimpin

1 hour ago 6
ADVERTISE HERE

KUCHING, 13 Sept: Belia di Sarawak perlu tampil memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan negeri dengan berani mengambil tanggungjawab, mencipta idea baharu serta menjadi penyelesai masalah.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, platform seperti AZAM Young Souls Toastmasters Club memberi ruang kepada golongan muda untuk memperkukuh kemahiran komunikasi, meningkatkan keyakinan diri serta membentuk ciri-ciri kepimpinan.

Menurutnya, malam pelantikan kepimpinan bukan sekadar pertukaran jawatan, sebaliknya membawa amanah besar yang berkait rapat dengan tanggungjawab dan kesinambungan organisasi.

“Anda bukan sahaja masa depan Sarawak, tetapi anda sudah menjadi sebahagian daripada Sarawak hari ini. Idea anda penting sekarang, kreativiti anda penting sekarang dan suara anda juga penting sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang disampaikan Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng pada Majlis Malam Pelantikan Kepimpinan AZAM Young Souls Toastmasters Club 2026/2027 di sini, hari ini.

Jelasnya, golongan muda merupakan sumber tenaga, idea dan potensi yang besar kepada Sarawak, justeru mereka tidak perlu menunggu sehingga masa hadapan untuk mula menyumbang kepada negeri ini.

Menurutnya, belia perlu berani mencipta peluang dengan membangunkan idea perniagaan, menggunakan teknologi untuk menyelesaikan masalah serta menyuarakan pandangan secara membina demi kemajuan komuniti.

Dalam pada itu, Dr Sim turut mengingatkan golongan muda supaya menjaga kesihatan fizikal dan mental kerana generasi yang sihat serta berdaya tahan penting dalam membina masyarakat yang produktif.

Tambahnya, kepimpinan sebenar bermula apabila seseorang bersedia menerima tanggungjawab, belajar daripada kesilapan dan sentiasa berusaha memperbaiki diri.

“Sarawak memerlukan anda sebagai pemikir, pencipta, inovator, penyelesai masalah, usahawan, profesional dan sudah tentu, pemimpin,” ujarnya.

Pada majlis sama, barisan kepimpinan baharu AZAM Young Souls Toastmasters Club bagi sesi 2026/2027 turut diperkenalkan dengan Arwen Zahra Raees dilantik sebagai Presiden, manakala Ryshaune Lee Yyun Sxuen pula sebagai Presiden terdahulu.

Barisan jawatankuasa baharu turut menyaksikan Claryssse Ngei Xing En sebagai Naib Presiden Pendidikan, Mohamad Isma Mazidi sebagai Naib Presiden Keahlian, Siti Nur Syafiqah Abu Bakar sebagai Naib Presiden Perhubungan Awam, Nabihah Salleh sebagai Setiausaha dan Alexander Velix sebagai Bendahari.

Turut dilantik ialah Mohamad Hassan Kamarolzain sebagai Pegawai Tatatertib, Tiong Jing Xiang sebagai Penolong Naib Presiden Pendidikan, Dayang Nur Raihan Syafiqah sebagai Penolong Naib Presiden Perhubungan Awam, Nur Syafiqah Abdul Razak sebagai Naib Setiausaha serta Abel Maran Bennet sebagai Penolong Logistik.-TVS

Read Entire Article