Nahas helikopter: Jenazah Kapten Zainol Afiq tiba di KLIA

1 hour ago 4
ADVERTISE HERE

SEPANG, 13 Sept: Jenazah juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30, yang terkorban dalam nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS), tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pada 2.28 petang tadi.

Jenazah Allahyarham dibawa pulang dari Lapangan Terbang Miri, Sarawak menggunakan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH2575 pada 12.10 tengah hari.

Van jenazah kemudian dilihat keluar dari KLIA Cargo Village sekitar 3.15 petang, diiringi ahli keluarga terdekat serta wakil Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Allahyarham Zainol Afiq akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Senawang, Forest Heights, Negeri Sembilan selepas solat Asar.

Allahyarham merupakan antara lima mangsa yang terkorban dalam nahas helikopter yang membawa pasukan FDS, selepas helikopter berkenaan terhempas dan terbakar berhampiran Lapangan Terbang Long Lellang (STOLport), Selasa lepas.

Nahas itu turut mengorbankan empat petugas kesihatan iaitu Dr Ainul Baraah Kamaruddin, pembantu pegawai perubatan Alexson Adit Henry serta dua jururawat, Jessie Paya Jok dan Debra Moset.

Jenazah Dr Ainul Baraah Kamaruddin sebelum ini diterbangkan ke Kota Bharu, Kelantan menggunakan pesawat khas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Seri Kedeper, Pengkalan Chepa selepas Zohor hari ini.

Sementara itu, mendiang Alexson Adit Henry dan mendiang Jessie Paya Jok dipindahkan dari Hospital Miri ke rumah masing-masing hari ini.

Urusan pengebumian kedua-dua mendiang dijadualkan esok, 14 September, di Anglican Cemetery Lambir, Miri bagi mendiang Alexson, manakala mendiang Jessie akan dikebumikan di BEM Cemetery Lambir, Miri, Sarawak.

Mendiang Debra Moset pula diterbangkan ke Kuching untuk disemadikan di Kampung Semadang, Padawan pada esok. – TVS

Read Entire Article